rap

Tak jadi cuti bersama Nana

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON dan pengacara, Zoey Rahman, 33, akui terpaksa lupakan hasrat bercuti bersama penyanyi popular, Siti Nordiana Alias atau Nana, 34. ke Jepun pada hujung November ini.

Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abd Rahman berkata percutian turut disertai beberapa rakan rapat mereka yang lain itu sudah dirancang lama.

“Apa pun, akhirnya saya yang tidak dapat turut serta bersama Nana dan rakan lain dalam percutian itu kerana terikat dengan jadual kerja padat.

“Namun, saya tetap akan bercuti ke Jepun tetapi dijangka sekitar Disember nanti. Cuma, terlewat beberapa minggu saja,” katanya.

Secara tidak langsung, Zoey juga menafikan dakwaan dia cuba mengelak diri daripada berhubungan rapat dengan Nana.

“Hubungan persahabatan saya dengan Nana masih baik dan rapat lagi, cuma sekarang jadual kerja kami memang sibuk.

“Saya terikat dengan aktiviti lakonan dan pengacaraan, begitu juga Nana sibuk dengan jadual kerjanya sendiri,” katanya.

Mengulas juga mengenai dirinya terpaksa menolak tawaran berlakon sinetron di Indonesia, Zoey tidak menafikan perkara itu.

“Memang saya ada dapat tawaran untuk sertai uji bakat berlakon sinetron di Indonesia, namun saya harus melepaskan peluang berkenaan.

“Ini kerana, rezeki saya nampaknya agak murah di negara sendiri pada hujung tahun ini dengan jadual padat membabitkan aktiviti seni dan perniagaan.

“Apatah lagi, saya berasa keputusan tepat sudah dibuat kerana enggan nanti ‘yang dikejar tidak dapat dan dikendong berciciran’.

“Jadi, lebih baik saya tumpukan saja pada rezeki dan perjalanan karier yang sudah ditetapkan Allah SWT di tanah air buat masa ini,” katanya.

Apa pun, pemuda kelahiran Terengganu ini sekali lagi menepis dengan tegas keputusannya menolak peluang berlakon di Indonesia itu ada hubung kait dengan Nana.

Ujarnya, selagi dia bujang dan masih solo, segala keputusan dibuatnya di atas pertimbangan diri sendiri dan tiada kaitan langsung dengan orang lain.

Disiarkan pada: November 6, 2018 @ 3:16pm
d