rap

Trio Soul Sisters cetus kelainan [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

TIGA penyanyi hebat, Noryn Aziz, Misha Omar dan Siti Sarah bakal berkongsi pentas dalam Konsert Soul Sisters di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 dan 6 April 2019.

Konsert anjuran Edd Razhe Entertainment (ERE) itu menjanjikan persembahan berbeza berbanding konsert yang pernah dipersembahkan di Istana Budaya.

Penerbitnya, Edd Razhe berkata, pemilihan trio itu dibuat berdasarkan reputasi serta kemampuan mereka menyanyi secara langsung termasuk mendendangkan lagu bergenre Soul dan R&B.

“Ketiga-tiga mereka sudah lama mencipta dalam bidang muzik tempatan. Jadi, sudah sampai waktu mereka diberi peluang beraksi dalam konsert berprestij di pentas yang diidamkan semua penyanyi.

“Bagi mencipta kelainan, mereka digabungkan buat pertama kali sebagai Soul Sisters sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan persembahan hebat mereka,” katanya yang ditemui pada sidang media Konsert Soul Sisters di AcmeBar & Coffee, hari ini.

Sementara itu, Misha berkata, konsert itu menyempurnakan impiannya untuk beraksi di pentas yang cukup diidamkan selama ini.

“Bergabung dengan dua nama besar memang cukup mengujakan saya. Dengan kehadiran Noryn dan Sarah, menambah seri dan jiwa konsert yang cukup bermakna ini,” katanya.

Menurut Sarah pula, konsert itu mengimbau kenangan ketika menjayakan konsert bersama Misha sebelum ini.

“Apabila ada Noryn bersama dalam konsert ini memang ‘gila’. Saya sangat teruja dan tidak sabar,” katanya.

Noryn pula berkata, dia tidak menjangka mimpinya menjadi kenyataan kerana sebelum ini dia pernah menyangka karier seninya akan berkubur.

“Lima tahun lalu, rasa berasa karier ini sudah berkubur. Tetapi hari ini, impian menjadi kenyataan. Apatah lagi bergabung dengan dua suara hebat, memang mengujakan saya,” katanya.

Menariknya, konsert itu menampilkan Datuk Syafinaz Selamat selaku pengarah vokal konsert dan Datuk Nasser Abu Kassim selaku pengarah muzik.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 4:45pm
d