rap

Harap Khai dapat jernih isu

Oleh Cik Pang

BARU-baru ini Cik Pang menghadiri majlis rumah terbuka seorang teman rapat sempena sambutan Deepavali.

Dalam keasyikan menjamu selera, sempat jugalah rakan Cik Pang berkongsi luahan hatinya mengenai penyanyi lelaki popular Khai Bahar.

Kata rakan Cik Pang, Khai sudah pandai ‘demand’ sejak menang trofi popular itu apabila kini enggan menerima sagu hati sebaliknya meletakkan bayaran.

Ujar rakan itu, ada teman baiknya yang bekerja di sebuah syarikat pelancongan mahu menawarkan pakej percutian kepada Khai ke sebuah negara Asia bersama peminatnya.

Menurut rakan Cik Pang, awal perbincangan Khai khabarnya berminat menjalin kerjasama dengan jumlah sagu hati ditetapkan.

Bagaimanapun, apabila perbincangan semula dibuat selepas Khai menang anugerah penyanyi lelaki popular terus pihaknya meletakkan bayaran sekiranya mahu menjalin kerjasama.

Rakan kepada teman Cik Pang itu terkejut dengan keputusan Khai. Mengikut perbincangan sebelum itu, syarikat terbabit akan menaja Khai sepenuhnya sepanjang percutian itu.

Cuma, Khai diminta membuat publisiti di media sosialnya dengan mengajak peminat menyertai pakej percutian itu.

Setahu Cik Pang, segala urusan membabitkan selebriti bertaraf popular seperti Khai semestinya diselia oleh syarikat pengurusan bakatnya.

Justeru, sesuatu keputusan dibuat itu bukan datangnya daripada Khai seorang sebaliknya hasil perbincangan dengan pihak pengurusannya juga.

Pada Cik Pang, lebih baik perkara sebegini dijawab sendiri oleh Khai atau pihak pengurusannya kerana itu yang terbaik.

Bukan apa, biasalah selebriti kalau sudah popular semestinya bersedia menghadapi segala gosip atau cerita sensasi.

Cik Pang pun bukanlah suka sangat dengar cerita sebelah pihak saja dan sebaiknya Khai dapat menjawab isu ini supaya yang keruh dapat dijernihkan dengan penjelasan berhemah.

Layan ibu macam pembantu peribadi

Dua minggu lalu Cik Pang meluangkan masa berkunjung ke studio penggambaran iklan seorang teman di pinggir ibu kota.

Laris betul tempahan diterima studio teman Cik Pang. Mana tidaknya, dia menawarkan harga berpatutan berserta peralatan kelengkapan penggambaran terkini.

Dalam rancak berborak, rakan Cik Pang itu buka cerita mengenai sikap seorang penyanyi wanita baharu yang masih terkial-kial membina nama.

Menurut teman Cik Pang, meskipun belum dikenali ramai tetapi sikap ‘diva’ penyanyi itu boleh tahan hebat.

Kata teman itu lagi, penyanyi wanita berkenaan yang ditemani ibunya ternyata seorang anak yang sangat disayangi keluarga.

Bukan apa, serba-serbi kelengkapan untuk dirinya dilakukan oleh ibu tercinta dan penyanyi wanita itu hanya perlu memberi arahan saja.

Nak pakaian, kasut, aksesori termasuk rakaman foto di telefonnya semua dibuat oleh ibunya sebaik saja menerima arahan.

Cik Pang yang mendengar cerita disampaikan teman itu hanya mampu geleng kepala. Maklumlah, belum lagi popular tetapi sikap penyanyi berkenaan terhadap ibunya umpama pembantu peribadi.

Apapun, sempat jugalah Cik Pang yang nakal ini membayangkan bagaimana sikap penyanyi wanita itu apabila dia sudah popular.

Mungkinkah juga dia akan terus memperlakukan ibunya sebegitu? Dalam soal ini, Cik Pang hanya boleh kata tunggu dan lihat saja.

Bagaimanapun, penyanyi wanita itu sepatutnya menjaga imejnya dan menjaga perlakuannya depan umum.

Kalau memang sudah terbiasa diasuh semua perkara ibu yang buat, biarlah situasi itu hanya berlaku di rumah saja.

Namun, bila di luar terutama apabila terbabit dengan urusan kerja lebih baik ringankan tangan melakukan semua perkara sendiri.

Tidaklah nanti mengundang tanggapan negatif orang yang memandang selain dapat menjaga maruah serta air muka si ibu.

Bukanlah Cik Pang nak suruh hipokrit berlakon jadi baik tetapi sebagai anak ada eloknya kehadiran ibu itu dijadikan sebagai peneman dan bukannya pembantu.

Bagi Cik Pang, hargailah ibu selagi masih ada depan mata. Tenang dan gembirakan hatinya termasuk menjaga martabatnya.

Cik Pang sekadar memberi teguran, selebihnya tepuk dada tanya selera. Sesungguhnya harus diingat syurga bagi seorang anak adalah di bawah tapak kaki ibu tercinta.

Fasha, Aidil bakal bertunang?

Diam tak diam, 2018 semakin hampir ke penghujungnya. Sekarang sudah November dan masa berlalu dengan pantas.

Apapun, Cik Pang dengar pelakon jelita Fasha Sandha katanya bakal mengikat pertunangan dengan pelakon Aidil Aziz pada pertengahan November ini.

Apa tarikh dipilih Fasha dan Aidil tidak pula Cik Pang tahu kerana maklumat berkaitan majlis pertunangan itu pun ada sumber yang menyampaikan kerana ujarnya kad undangan sudah diedar.

Mengikut cerita sumber itu kepada Cik Pang lagi, majlis pertunangan Fasha dan Aidil juga akan dilangsungkan secara tertutup.

Dalam erti kata lain, pasangan itu khabarnya hanya menjemput saudara dan kenalan rapat menghadiri majlis istimewa mereka.

Siapalah dalam kalangan rakan Cik Pang yang bertuah akan diundang Fasha dan Aidil untuk hadir pada hari pertunangan itu nanti. Nama Cik Pang rasanya tidak tersenarai.

Bagaimanapun, Cik Pang berlapang dada kerana selalunya hujung minggu jadual aktiviti memang penuh dan ada kala tak menang tangan dibuatnya.

Namun, kata sumber kepada Cik Pang lagi, Fasha dan Aidil berkemungkinan besar akan naik pelamin tahun depan. Bila tarikhnya belum diketahui.

Kalau betul apa yang disampaikan oleh sumber ini, Cik Pang ucapkan tahniah kepada Fasha dan Aidil.

Semoga hasrat murni kalian untuk ‘membina masjid’ dan menghalalkan ikatan cinta dibina dipermudahkan Allah SWT.

Bagi Cik Pang, hubungan rapat di antara Fasha dan Aidil juga bukan rahsia kerana mereka ada memuat naik foto bersama di laman sosial masing-masing.

Bahkan, peminat pun menerima baik hubungan rapat pasangan selebriti popular itu.

Selain Fasha dan Aidil, siapa lagilah selebriti tanah air yang dijangka akan bertunang atau naik pelamin pada penghujung 2018.

Apa pun, semoga Fasha tidak melatah dengan Cik Pang. Bukan apa, sukar juga Cik Pang nak pertikaikan maklumat diberikan sumber itu.

Ditambah lagi, Cik Pang pernah melihat foto Fasha ‘menguji rasa makanan’ untuk tempahan katering yang dimuat naik bekas suaminya di laman Instagram (IG).

Semestinya, Cik Pang juga tidak ketinggalan sudah mula menerima kad undangan pertunangan dan perkahwinan dikirim oleh rakan-rakan.

Apapun, hanya doa kebahagiaan buat kalian mampu Cik Pang titipkan. Semoga ikatan kasih dibina berkekalan hingga akhir hayat.

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 9:02am
d