rap

Kurang kesilapan, persembahan bersemangat

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

KONSERT minggu kedua program realiti Mentor Musim ketujuh (Mentor 7) menyaksikan empat protege daripada dua mentor iaitu Siti Nordiana dan Hafiz Suip berjaya mara ke pusingan seterusnya.

Dua protege Siti Nordiana ialah Zaaim atau nama sebenar, Zaaim Abdullah, 28, dan Taufiq atau Taufiq Rodzi, 24.

Siti Nordiana berkata, kedua-dua protege pilihannya adalah berdasarkan kurang membuat kesilapan ketika persembahan berlangsung.

"Secara peribadi saya sukakan Syamimi tapi dia kelihatan sedikit gementar berbanding dua protege saya yang lain.

"Pun begitu, saya yakin dengan pilihan ini kerana kedua-dua mereka ada julat vokal yang besar dan boleh menyanyikan pelbagai genre selain mempunyai 'versatility' tersendiri," kata Siti Nordiana.

Protege Hafiz Suip yang berjaya mara pula ialah Azmirul atau nama sebenar, Muhammad Azmirul Hafiz Azman, 24, dan Amal atau nama sebenar, Mohd Amal Mohd Faudzi, 21.

Hafiz berkata pemilihan protegenya bukan sekadar penilaian suara tetapi semangat, komitmen dan kesungguhan yang ditonjolkan mereka di atas pentas.

"Persembahan ketika konsert mereka tadi juga main peranan kerana ketika sesi latihan mereka sangat tertekan.

"Antara mereka bertiga, saya pilih Azmirul dan Amal sebab tenaga mereka ketika membuat persembahan boleh dirasai dalam studio berbanding Nadia yang bagus vokal cuma kurang penghayatan," kata Hafiz.

Pun begitu, Hafiz berpendapat protegenya yang tersingkir itu sudah berada di tahap yang baik serta sudah mempunyai kelebihan dan pengalaman bergelar artis rakaman.

Pemilihan empat daripada enam protege yang membuat persembahan itu adalah berdasarkan 100 peratus pilihan mentor.

Pada konsert minggu lalu, dua protege Aizat Amdan yakni Pasya dan Megat, manakala dua protege Datuk Syafinaz Selamat pula yakni Ranisha dan Lazarul berjaya mara ke peringkat seterusnya.

Mentor 7 juga menyaksikan konsep baru dikenali Simpan atau Tukar yang mana mentor boleh memilih untuk kekalkan protege yang sudah dipilih atau menyerap protege kepada mentor lain yang sudah disingkirkan.

Namun pada segmen itu tadi, semua mentor bersepakat untuk mengekalkan protege masing-masing lantas mengecewakan Siti Nurnadia Mohd Rozi (Nadia), Nurshamimi Abdul Manan (Syamimi), Rasmawatie Mohd Thamrin (Aznona) dan Mohd Fariz Arif Malek (Faris Malek) yang sudah tersingkir.

Mentor 7 disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap Ahad, 9 malam di TV3 sejak 28 Oktober lalu.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 1:36am
d