rap

Aiman akui kecewa, marah

Oleh Amirul Haswendy Ashari

“HAK individu, orang nak cakap apa-apa pun, ikutlah!" luah penyanyi Aiman Ismail, 29, saat ditanya mengenai status dimuat naik di sosial media, Instagram miliknya, kelmarin.

Di laman sosial itu, penyanyi lagu Cintamu Palsu dan Khabarkan Aku memuat naik dua keping foto yang mengundang persepsi netizen seolah-olah rumah tangga didirikan bersama penerbit Pencil Pictures & Records Sdn Bhd, Datuk Normasyahu Puteh, 43, atau Ayu Puteh dilanda masalah.

Tidak menafikan atau mengiyakan dakwaan itu, Aiman akui ‘posting’ yang dimuat naik itu ketika dia sedang mengalami perasaan kecewa dan marah.

“Saya sebenarnya nak tengok sampai bila akan jadi macam ini dan kalau nak cakap pasal salah faham, ini isu lain, tapi dalam cara berbeza.

“Apa yang saya kongsikan ini bukan 'straight forward' tapi sipi-sipi saja, kalau saya salah saya akan minta maaf, tapi saya percaya tidak bersalah,” katanya.

Dia enggan berkongsi secara terperinci mengenai isu melanda, tapi mendakwa apa yang dirasainya adalah salah di matanya walaupun pertama kali berlaku di depan mata.

Katanya, isu yang berlaku dalam rumah tangganya itu tidak sepatutnya berlaku seandainya ada pihak yang memberi ruang dan ia bukan isu salah faham.

Dalam pada itu, anak tirinya, pelakon dan penyanyi, Wanna Ali, turut meninggalkan komen di 'posting' berkenaan.

“Apa benda ni? Kenapa perlu 'post' ke sosial media? Hal rumah tangga tak boleh bincang macam orang dewasa ke?

“Setiap kali ada masalah dengan isteri yakni mama Wanna, kenapa perlu 'post'? Sebenarnya apa yang abang nak di sini? Kalau nak perhatian bukan begini caranya," tulis Wanna.

Bagaimana pun komen ditulis Wanna itu dipercayai dipadam oleh Aiman, semalam.

Aiman bernikah dengan Ayu Puteh yang juga ibu tunggal kepada empat anak pada 7 Januari 2017.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 12:45am
d