rap

'Bukannya saya nak kahwin...'

Oleh Ardini Sophia Sina

PELAKON drama Isteri Dalam Sangkar, Azrel Ismail menafikan perancangannya untuk membeli sebuah rumah adalah petanda dia bakal berkahwin dalam masa terdekat.

Jejaka berusia 33 tahun itu berkata, buat masa ini, dia masih solo dan masih belum mempunyai teman istimewa kerana sibuk bekerja.

“Memang, saya bercadang menyediakan semua keperluan seperti kereta dan rumah sebagai persiapan untuk mendirikan rumahtangga. Tetapi, bukan bermakna majlis itu akan berlangsung dalam masa terdekat.

“Tambahan pula, saya masih solo dan belum bertemu dengan wanita yang memenuhi ciri-ciri idaman. Saya terlalu sibuk bekerja hinggakan. Jadual saya sejak akhir-akhir ini memang agak padat,” katanya.

Azrel memasang impian untuk membeli sebuah rumah sebelum usianya mencecah 35 tahun. Memulakan karier sejak tiga tahun lalu, pelakon itu sudah mulai menyimpan sebahagian daripada wang hasil lakonan.

Seorang yang berjimat cermat, Azrel tidak menggunakan bayaran diterima untuk membeli barangan mewah hanya kerana ingin tampil bergaya di hadapan orang lain.

“Dari menghabiskan duit untuk membeli barang mewah, lebih baik saya simpan untuk beli rumah. Tambahan pula, saya sudah menyasarkan untuk memiliki rumah sendiri sebelum usia mencecah 35 tahun.

“Saya tidak kisah menggunakan barang yang tidak berjenama. Kalau pun murah tetapi cantik, saya tetap akan guna juga.

“Satu-satunya barang mahal yang pernah beli adalah beg duit jenama Gucci. Saya beli ketika menjalani penggambaran di Itali,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 7:26pm
d