rap

Polis Evo 2 lulus tayangan [METROTV]

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

FILEM Polis Evo 2 tidak mengandungi elemen yang boleh ditafsirkan memberi imej buruk kepada Islam.

Ia disahkan Lembaga Penapis Filem, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Polis Evo 2 tiada bercanggah dengan mana-mana peruntukan Garis Panduan Penapisan Filem, KDN.

“Lembaga Penapis Filem sudah menonton tapis filem 'Polis Evo 2' dan memberi keputusan Lulus Bersih (LB) dengan klasifikasi P13 untuk tayangan pawagam," katanya.

Kenyataan sama menjelaskan, Polis Evo 2 memaparkan kisah dua pegawai polis yang mengintip pergerakan ketua sindiket pengedar dadah di sebuah pulau.

"Dalam operasi itu mereka terperangkap dengan insiden serangan kumpulan pengganas yang menawan dan menjadikan penduduk pulau berkenaan sebagai tebusan.

"Secara keseluruhan, filem itu mengisahkan mengenai usaha pihak polis untuk membanteras kegiatan jenayah dan menyelamatkan orang awam yang terbabit dalam insiden keganasan yang dipaparkan," katanya.

Filem aksi itu adalah sekuel kepada Polis Evo yang pernah pecah panggung pada tahun 2015 lalu.

Ia mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak sejak ‘trailer’ filem berkenaan dimuat naik di Facebook dan YouTube.

Malah, ‘trailer’ terbabit mencatat lebih 500,000 tontonan dan 4500 perkongsian sehingga kini.

Segelintir pihak berpendapat filem Polis Evo 2 yang akan ditayangkan 22 November ini cuba mencerminkan umat Islam sebagai pengganas dan jahat.

Polis Evo 2 masih mengekalkan barisan pelakon asal iaitu Shaheizy Sam dan Zizan Razak, selain menampilkan Erra Fazira, Raline Shah, Hairul Azreen, Soffi Jikan, dan Syafie Naswip.

Berita berkaitan

'Tak adil untuk penerbit' - Norman

Disiarkan pada: November 14, 2018 @ 7:31pm
d