rap

Kisah benar masyarakat dalam drama

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BUKAN mudah mengendalikan 40 pelakon berlainan bagi menyiapkan drama 13 episod.

Inilah cabaran terbesar dilalui pengarah Rashid Sibir untuk penggambaran drama bersiri terbarunya berjudul Cerita Dalam Kain.

Drama yang memakan masa satu jam setiap kali bersiaran ini menemui penonton bermula bulan ini dan Disember menerusi saluran Astro Prima pada setiap Sabtu, jam 10 malam.

Membaca judulnya, mungkin ramai beranggapan Cerita Dalam Kain mempunyai elemen lucah yang kurang sesuai dengan norma masyarakat kita.

Rashid berkata, Cerita Dalam Kain adalah siri kisah masyarakat yang berlaku dalam hidup seharian.

“Ia adalah petikan cerita daripada salah satu ruangan majalah Mingguan Wanita. Ia sebuah kisah benar yang dihantar masyarakat.

“Kebanyakan kisah yang dipaparkan mengenai keluarga dan skandal. Paparan cerita mengutarakan masalah kehidupan suami isteri daripada yang muda sampai sudah berumur mengenai apa ilalui dalam melayari rumah tangga,” katanya.

Menurut Rashid, kesetiaan dan kepercayaan perlu ada dalam rumah tangga kerana inilah yang boleh membantu membina keluarga bahagia.

“Teras ceritanya adalah konflik keluarga, tapi saya kena tampilkan cerita berlainan pada setiap episod supaya penonton seronok mengikutinya.

“Selain menampilkan elemen hiburan, saya juga kena selitkan elemen pengajaran dan teladan sebagai pedoman untuk yang berkeluarga bagaimana nak menjaga keluarga,” katanya.

Sering tampil dengan cerita masyarakat, Rashid mengakui sentiasa mencari kelainan dalam setiap arahannya supaya tidak dilabel pengarah stereotaip.

“Setiap karya saya ada perbezaannya. Contohnya drama Tanah Kubur lain ceritanya. Kelainan turut ditampilkan dalam Mencari Qiblat tapi kandungannya dekat dengan hati penonton.

“Saya bekerja dengan lebih 40 pelakon tapi amat beruntung kerana semuanya nama besar dan tahu kerja masing-masing. Penggambaran mengambil masa selama 40 hari di beberapa lokasi iaitu Kuala Lumpur, Taman Melawati, Damansara, Ijok dan Sekinchan di Selangor.

Kerana Terlalu Percaya

Rashid berkata, antara kisah menarik yang ditampilkan adalah menerusi episod Kerana Terlalu Percaya lakonan Datuk Jalaluddin Hassan dan Maria Farida.

“Ia kisah mengenai isteri bernama Alia yang kesepian selepas 20 tahun berkahwin. Puncanya, suami dan anak terlalu sibuk dengan hal sendiri.

“Dia akhirnya menyertai sebuah persatuan dan di situ bertemu lelaki lain. Anaknya melihat perbuatan ini dan memberitahu bapanya tapi dia tak percaya. Mereka terlanjur dan Alia minta diceraikan kerana ingin berkahwin dengan kekasihnya,” katanya yang meminta penonton menjadikan cerita ini sebagai tauladan dan sempadan dalam kehidupan.

Profil Produksi

Penerbit: Nurulhuda Azizi

Penerbit Eksekutif: Ainul Mardhia Rashid, Alifffirdaus Rashid, Iskandar Zulkarnaen Rashid, Adam Muhammad Rashid, Maimon Mokhtar

Pengarah: Rashid Sibir

Penolong Pengarah: Din Sani

Pengurus Produksi: Asrizal @Epi Ejoke

Pengurus Produksi: M Zulkefli Hasuri (Ejoy)

Jurukamera: Salehhudin Jamaludin

Penolong Jurukamera: Faiz

Audioman: Shahrulnizam@Ahcong

Pencahayaan: Zaihyme (Amy) & Onday

Propmaster: Azrul Chomel

Propman: Mohd Shafiq Hasuri

Handyman: Ayien Tobak & B.J

Konti: Mohd Zulazraee Adam

Solekan: Ferry Karisma

Wardrobe: Wanda

Pengurusan Tadbir: Shahrizamk

Pelakon: Nazim Othman, Mona Allen, Octovia Manrose, Nazrief Nazri, Shahronizam, Sherry Merlis, Zila Bakarin, Khir Rahman, Reen Rahim, Norlia Ghani, Asyikin Zainal, Sofi Jikan, Farahdhiya, Hafreez Adam, Wan Sharmila, Datuk Ahmad Tarmimi, Mak Jah, Datuk Fizz Fairuz, Eyra Hazali, Heriyanto Hassan, Ameerul Ashraf, Aida Khaleeda, Azhan Rani, Raja Azura, Azzarima, Kismah Johar, Nad Zainal, PU Azman, Amar Bahrin, Aidil Aziz, Noni AF, Liza Abdullah, Hasnol Rahmat, Aleza Shadan, Datuk Jalaluddin Hassan, Maria Farida, Ameerul Asyraf, Noralbaniah, Nasir Bilal khan, Didie Alias, Mak Engku, Nadzmi Adhwa.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 5:01am
d