rap

'Kami rujuk dua Mufti'

Oleh Najiy Jefri

PENERBIT Eksekutif Polis Evo 2, Datuk Khairul Anwar Salleh memaklumkan pihaknya sudah mendapatkan nasihat Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung isu sensitiviti agama Islam dalam filem terbabit.

Khairul berkata, filem aksi itu tidak mempunyai unsur memburukkan imej Islam malah mengambil kira pendapat dan nasihat daripada golongan ulama.

"Pihak kami juga terasa dengan kehangatan apabila isu ini (memburukkan imej Islam) digembar-gemburkan dan disebut-sebut di laman sosial.

"Filem ini lulus bersih dari Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan tiada sekatan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Kami juga sudah mendapatkan nasihat daripada Mufti Wilayah Persekutuan dan Mufti Perlis untuk berbincang andai terlepas pandang atas isu yang berlaku. Kami bersedia untuk bertemu dengan pihak berkenaan," katanya ditemui pada tayangan perdana filem Polis Evo 2.

Menurut Khairul, Polis Evo 2 jelas memaparkan implikasi buruk kepada rakyat di negara ini andai golongan ajaran sesat atau ekstrimis agama tidak dibendung.

"Saya ingin tegaskan Polis Evo 2 adalah filem rekaan semata-mata terutama watak Hafsyam yang digambarkan sebagai pengikut ajaran sesat yang ekstrim.

“Dalam negara majoriti penganut Islam, kita tidak mahu seseorang mengambil kesempatan atau menggunakan agama yang boleh mengganggu gugat ketenteraman negara.

“Pihak kami percaya wujud individu sebegitu (menggunakan agama) dan melalui filem ini, kita ingin paparkan kepada penonton.

“Jadi jelas filem ini memaparoan kesan-kesan buruk jika perkara ini tidak dikawal dan bagaimana pihak berkuasa mengambil langkah proaktif untuk membanteras masalah ini,”katanya.

Dalam pada sama, Khairul berkata, tidak adil buat segelintir pihak untuk terus menghakimi atau memboikot filem tersebut dengan hanya menonton trailer sahaja.

"Bagi saya, kita harus menonton filem ini dahulu. Menonton trailer sahaja tidak menggambarkan keseluruhan kandungan naskhah.

"Walaupun ada pihak yang mengeluarkan kenyataan ingin memboikot, kita juga mendapat sokongan kuat daripada penonton yang mempertahankan filem ini untuk ditayangkan di pawagan," katanya.

Terdahulu, Filem aksi sekuel kepada Polis Evo terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. dan SCM Tbk itu mendapat pelbagai reaksi orang ramai termasuk beberapa parti politik sejak dimuat naik pada 30 Oktober lepas di Facebook dan YouTube.

Segelintir pihak merasakan filem Polis Evo 2 yang akan ditayangkan 22 November depan cuba mencerminkan umat Islam sebagai pengganas dan jahat.

Hal itu ditonjolkan melalui watak ketua pengganas bernama Hafsyam Jauhari lakonan Hasnul Rahmat yang membawa imej Islamik dengan memakai serban.

Selain Hasnul, Polis Evo 2 masih mengekalkan barisan pelakon asal iaitu Shaheizy Sam dan Zizan Razak, selain menampilkan pelakon lain antaranya Erra Fazira, Raline Shah, Hairul Azreen, Soffi Jikan, dan Syafie Naswip.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 2:55pm
d