rap

Alhamdulillah isteri pulih - Papa Rock

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI bergelar Papa Rock, Datuk Ramli Sarip mendedahkan isterinya Sapiah Omar, 55, pernah melalui saat getir apabila menghidap penyakit kanser pada sekitar tahun 1990-an.

Ramli, 66, bagaimanapun bersyukur kerana sikap positif yang diperlihatkan Sapiah berjaya membawanya keluar daripada penderitaan yang dilalui.

“Saya kurang pasti samada kanser itu pada tahap satu atau dua. Ketika itu isteri saya memang perlu menjalani terapi dan apabila bekerja di pejabat, dia kena letakkan beberapa kipas disekelilingnya kerana tak tahan panas.

“Saya pula cuba tidak terlalu mahu mengikut perasaan untuk berasa sedih kerana saya yakin Allah akan menyembuhkan semua penyakit kecuali mati,” katanya kepada Harian Metro.

Ramli berkata, dia sentiasa berpegang kepada takdir Allah dan percaya setiap penyakit yang diturunkan pasti ada penawarnya.

“Saya selalu suruh isteri bertenang dan tidak terlalu tertekan selain sering memanjatkan doa kepada Allah.

“Keadaannya ketika itu sangat risau tetapi saya pula sebaliknya. Saya menghadapinya dengan tenang kerana ia satu perjalanan yang dah ditentukan.

“Isteri kena sering berulang alik ke hospital untuk rawatan dan alhamdulillah keadaannya sudah pulih,” katanya.

Terpanggil dengan pengalaman yang dilalui, Ramli tidak lokek menjalinkan kerjasama dengan mana-mana persatuan kanser dalam program yang bertujuan mengumpul dana.

Terbaru, Ramli menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia Cawangan Perak untuk penganjuran Konsert Doa Buat Kekasih yang akan berlangsung di Hotel, Casuarina Meru, Ipoh pada 7 Disember depan.

“Sebelum ini saya bekerjasama dengan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) dalam Konsert Amal 'Doa Buat Kekasih' yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (PERSADA) pada 2 September lalu.

“Saya rasa senang dan suka membantu. Apa yang boleh dikongsi, saya akan buat. Saya mengalu-alukan apa juga badan tidak kiralah daripada yayasan kanser, kempen anti dadah dan anti merokok, semuanya saya akan bekerjasama.

“Daripada dulu lagi, inilah yang saya buat kerana saya suka. Rasanya peminat Sweet Charity dan saya sendiri dah dewasa dan bukan budak-budak lagi dan mereka pasti sokong apa dibuat,” katanya.

Konsert yang menampilkan Datuk Khadijah Ibrahim ini turut mendapat kerjasama Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT), D’va Event and Management, Rasa Karya Music Sdn Bhd serta mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Perak.

Tiket konsert dijual berbentuk jualan meja pakej Meja Platinum RM50,000 (empat kerusi), Gold RM20,000 (lapan kerusi) dan Silver RM15,000 (lapan kerusi).

Turut disediakan ialah jualan meja berharga RM10,000 (lapan orang), RM5,000 dan RM3,000 yang memuatkan 10 orang.

Tiket berharga RM150 (dewasa) dan RM100 (kanak-kanak) turut diperkenalkan kepada peminat.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 5:20pm
d