rap

Cabar diri jadi penyanyi

Oleh Syafil Syazwan Jefri

BEKERJA di belakang tabir mengendalikan artis sebagai pembantu peribadi banyak memberikan ruang kepada Soll Ahmadd untuk memahami selok-belok dunia hiburan.

Baginya, sepanjang bergelar pembantu kepada dua artis hampir 10 tahun berikan pengalaman cukup berharga buat dirinya.

Kini, Soll atau nama sebenarnya Ahmad Solehin Mohamed Nor, 26, mengorak langkah dengan mengejar impian bergelar penyanyi yang berjaya.

“Ini adalah percubaan pertama saya untuk meneroka dan melihat potensi diri saya dalam bidang muzik,” katanya.

Kata Soll, dia turut mencabar diri dan mengambil risiko untuk mencuba nasib.

“Kalau tak ambil risiko, kita tak akan tahu hasilnya. Jadi, saya ambil keputusan menghasilkan single,” katanya.

Penyanyi Watak Kasih ini juga lebih selesa bergerak di bawah labelnya sendiri.

“Saya bernaung di bawah label Soul Networks dan mengedarkan sendiri lagu ini. Memang banyak cabaran yang perlu saya tempuh.

“Sebelum ini, saya pernah menjadi pembantu peribadi Anzalna selama tujuh tahun dan sebelum ini membantu Marsha Milan selama dua tahun.

“Sepanjang tempoh itu, saya belajar menguruskan diri dan strategi yang boleh dipraktikkan untuk memasarkan karya kita,” katanya.

Dia yang masih lagi membantu Anzalna mengakui pada awalnya berasa ragu-ragu untuk memberitahu pelakon itu mengenai impian bergelar penyanyi.

“Saya teragak-agak untuk berkongsi dengan Anzalna mengenai single pertama ini.

“Apabila beritahu dia, tak sangka dia terkejut dan sangat teruja. Dia nak dengar lagu saya dan beri komen positif,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai single itu, ia hasil ciptaan komposer Farouk Lokman dan liriknya ditulis Amylea Azizan.

“Sebenarnya, lagu ini sudah lama disiapkan iaitu sekitar lebih setahun lalu. Namun, pada waktu itu saya fokus belajar.

“Sekarang, masa paling sesuai untuk saya perkenalkan lagu ini. Alhamdulillah, maklum balas daripada rakan setakat ini sangat positif,” katanya yang turut memaklumkan video muzik single itu dalam proses suntingan dan akan menemui pemint tidak lagi lagi.

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 5:01am
d