rap

Sebuah Lagu dalam Wreck-It Ralph 2

Oleh Syafil Syazwan Jefri

BAND Indonesia, Payung Teduh, hari ini melancarkan single terbaru mereka, Sebuah Lagu, yang juga menjadi runut bunyi filem (OST) terbaru Disney, Ralph Breaks the Internet: Wreck-It-Ralph 2 untuk pasaran Indonesia dan Malaysia.

Payung Teduh yang dianggotai Alejandro Saksakame, Comi Aziz Kariko, Ivan Penwyn, Marsya Ditia, Taufiq, dan Pandji Putranda itu juga berbesar hati kerana menjadi band pertama di Asia Tenggara yang berkolaborasi dengan Disney untuk projek besar itu.

“Kami dihubungi oleh pihak Disney sejak lima bulan lalu dan apabila dimaklumkan bahawa lagu kami akan dijadikan OST filem animasi itu, kami teruja dan bersyukur ” kata Alejandro kepada Harian Metro.

Menurutnya yang juga komposer lagu itu, satu cabaran buat mereka yang dikenali sebagai band dengan lagu berentak perlahan, untuk menyesuaikan runut bunyi terbabit dengan filem yang jalan ceritanya sangat pantas.

“Sememangnya, ini satu cabaran buat kami. Kami kekal dengan identiti muzik kami yang lebih kepada berentak perlahan.

“Namun, untuk disesuaikan dengan filem ini dan juga demografi penonton yang rata-rata kanak-kanak, kami menampilkan Marsya sebagai vokalis buat pertama kali,” katanya lagi.

Video muzik Sebuah Lagu akan ditayangkan sebagai lagu penutup kedua dalam filem itu di samping lagu penutup pertama berjudul Zero yang dipopularkan oleh Imagine Dragon.

Di Malaysia, Ralph Breaks the Internet: Wreck-It-Ralph 2 akan mula ditayangkan di pawagam bermula 22 November ini.

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 3:38pm
d