rap

Uchop dah ada 'food truck'...

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

IMPIAN penyanyi Uchop Ahmad untuk memiliki ‘food truck’ sendiri menjadi kenyataan apabila menerima kenderaan itu, baru-baru ini.

Uchop, 34, yang juga juara program Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua pada 2012 berkata, dia memang minat berniaga dan merancang untuk menjual makanan dan minuman.

“Saya namakannya Uchop Ahmad Foodtruck dan akan menjual nasi ayam, coconut shake, green tea dan pelbagai lagi. Food truck adalah trend terkini di Kuala Lumpur dan saya akan menyertai program jualan di pelbagai lokasi antaranya Tapak di KLCC, Amcorp Mall, Ampang dan mana-mana kawasan yang boleh dibuka jualan,” katanya tang membeli kenderaan itu dengan harga RM87,000.

Menurut Uchop, minatnya untuk berniaga timbul apabila diundang menjayakan persembahan di Chow Kit pada Ramadan lalu.

“Saya dijemput dalam program kacau dodol bersama peniaga ‘food truck’. Memandangkan saya dikenali, mereka mencadangkan saya membeli ‘food truck’ dan berniaga sendiri.

“Ini buat saya terfikir, apa salahnya saya berniaga kerana saya ada kemahiran memasak dan sayang kalau bakat ini tak dimanfaatkan.

“Saya mahir memasak nasi ayam dan beberapa menu lain. Paling istimewa ialah minuman air jagung kerana saya sudah menjualnya sejak Ramadan dan sambutannya memang hebat,” katanya.

Uchop berkata, dia tidak malu untuk berniaga dan akan memastikan Uchop Ahmad Food Truck menjelajah segenap pelusuk Lembah Klang selepas ini.

“Lebih baik saya cari wang lebih dengan berniaga. Sekarang tawaran persembahan pun agak perlahan jadi ada baiknya saya buat kerja lain juga,” katanya.

Uchop yang kini tampil dengan single terbaru berjudul Abadi Kasihku berkata, sekiranya mendapat tawaran menyanyi, dia akan membawa ‘food truck’ ini bersama ke lokasi persembahan.

“Tidak kiralah di mana pun, saya pasti akan bawa foodtruck. Saya dapat tawaran buat persembahan di Kedah dalam terdekat ini.

“Sudah pasti saya akan bawa foodtruck bersama dua kru untuk membantu berniaga,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 3:14pm
d