rap

'Saya lihat kualiti pada Aidil'

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PELAKON, Fasha Sandha berkata, dia mengambil masa beberapa bulan untuk berfikir, selepas dilamar kekasihnya, pelakon Aidil Aziz, pada 21 Jun lalu.

Bagaimanapun, dia akhirnya memutuskan menerima lamaran berkenaan selepas melihat keakraban lelaki itu dengan dua anaknya.

“Saya sebenarnya khuatir dan dilema untuk menerima (Aidil) pada mulanya. Namun, saya lihat kualiti yang ada pada Aidil.

“Dia juga cukup akrab dengan kedua anak saya... sejak awal saya perkenalkan (Aidil) kepada mereka lagi,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Fasha Sandha, 34, atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan mengikat tali pertunangan dengan Aidil dalam satu majlis tertutup di Ampang, hari ini.

Majlis hanya dihadiri kaum keluarga dan teman rapat ini diadakan secara sederhana atas permintaan kedua belah pihak.

Fasha berkata, dia tertarik kepada Aidil yang berusaha meluangkan masa dan bijak mengambil hati dengan kedua-dua anaknya.

“Malah, Aidil juga pandai menghormati kedua ibu bapa dan keluarga saya,” katanya.

Fasha dan Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Abdul Aziz, 31, berkenalan ketika penggambaran sebuah sitkom, akhir tahun lalu.

Sejak itu, pasangan ini mula akrab sebelum mengesahkan hubungan cinta mereka, pada pertengahan tahun ini.

Sementara itu, Aidil menyifatkan perkenalan selama setahun bersama Fasha sudah cukup meyakinkan hatinya untuk melamar pelakon berkenaan.

Pelakon dengan nama sebenar Mohd Aidil Abdul Aziz berkata, dia terpikat dengan sifat keibuan dan gemar bersederhana pada Fasha.

"Sudah tertulis jodoh saya dengannya dan saya menerima baik ketentuan itu. Justeru, persepsi negatif atau apa saja pandangan orang lain tak perlu saya fikirkan,” katanya.

Fasha pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putra Rayfal berusia 5 tahun dan Putri Raysha Jemyma, 4.

Berita berkaitan

Fasha, Aidil bertunang

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 9:20pm
d