rap

Noryn juara GV5

Oleh Najiy Jefri

TUAH berpihak kepada Noryn Aziz apabila diumumkan sebagai juara Gegar Vaganza musim kelima (GV5), di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Shah Alam, malam ini.

Noryn menewaskan lima peserta lain sekali gus membawa pulang wang tunai RM100,000, pakej penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort dan piala.

Penyanyi itu memberikan persembahan mantap membawakan lagu duet Laskar Cinta dengan penyanyi Awi Rafael dan tugasan duet lagu Where Is The Love bersama Dia Fadila .

Tempat kedua dimenangi Dia Fadila yang mendapat wang tunai RM50,000, pakej penginapan Royal Chulan Hotel & Resort dan trofi.

Pemenang tempat ketiga, Zamani menerima wang tunai RM30,000 dan Amelina pula mendapat tempat keempat menerima wang tunai RM20,000.

Tempat kelima dimenangi Maya Ruslee, membawa pulang RM15,000.

Berada di kedudukan terakhir, Billy Zulkarnain yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Semua bintang turut menerima trofi dan pakej percutian.

Hadiah disampaikan oleh Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal dan Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad Ramli.

Juri tetap terdiri daripada Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim serta dua juri jemputan iaitu Datuk DJ Dave dan Joe Flizzow.

Peserta diadili sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh pihak juri.

Program itu dikendalikan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 11:37pm
d