rap

Salma, Azri naik pelamin lagi

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Salma Asis, 27, bakal ‘bersanding’ sekali lagi pada Mac tahun depan selepas empat tahun berumah tangga.

Menurutnya, itu adalah hasrat ibu mentuanya yang juga ibu kepada penyanyi, Azri Abdullah.

“Insya-Allah, kalau semuanya berjalan dengan lancar, saya dan suami akan bersanding sekali lagi pada Mac tahun depan di Klang.

“Sebenarnya, ini adalah majlis perkahwinan adik kepada suami dan ibu mentua saya memang berhasrat untuk melihat kami bersanding sekali lagi,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut juara program realiti Mentor 5 dan 3 Juara itu lagi, empat tahun lalu, dia dan suami hanya mengadakan majlis persandingan kecil.

“Empat tahun lalu, kami dah adakan majlis kecil tapi hanya di kampung saya, di Sabah. Jadi kali ini, ibu mentua nak sangat satu majlis bersanding diadakan di Klang.

“Kalau diikutkan, saya dan Azri rasa macam membazir pula untuk adakan majlis persandingan. Tapi, saya nak juga tunaikan hasrat ibu,” katanya.

Salma juga memaklumkan, dia akan menjemput rakan-rakan serta kenalan untuk hadir ke majlis persandingan tersebut.

Terbaru, Salma hadir dengan single baru berjudul Stop Love ciptaan komposer, Ajai.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 3:04pm
d