rap

'Mana ada pilih kasih'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI yang juga juri tetap Gegar Vaganza 5, Datuk Khadijah Ibrahim menafikan bersikap pilih kasih terhadap beberapa peserta sepanjang program itu berlangsung.

Khadijah, 59, atau lebih mesra disapa Ibu Khaty berkata, tindakannya memberikan ‘standing ovation’ kerana tertarik dengan persembahan diberikan dan bukan menyukai penyanyi itu.

“Saya tak pilih kasih. Saya berdiri sebab persembahan mereka menepati cita rasa saya.

“Macam Datuk Ramli, kita faham apa yang dia inginkan dalam muzik. Tetapi, dalam soal pertandingan setiap peserta buat yang terbaik dalam persembahan.

“Jadi, kita dapat lihat usaha setiap peserta pada setiap minggu. Sebagai contoh, Zamani yang cuba menari dan Amelina dengan pakaian Bollywood,” katanya kepada Harian Metro.

Selain didakwa bersikap pilih kasih, pengguna laman sosial turut berpendapat pihak produksi perlu mencari dan menggantikan Khadijah dengan juri lain pada musim akan datang.

Ditanyakan perkara itu, Khadijah berkata, dia terbuka mengenainya dan tidak kisah jika terdapat segelintir pihak yang membandingkannya dengan orang lain.

“Nak tukar juri? Tak apa. Saya juga tak ada masalah kalau ada yang bandingkan saya dengan orang lain.

“Mereka tahu saya sudah 40 tahun dalam industri. Kalau mereka jumpa seseorang yang boleh beri komen lebih baik daripada saya, kenapa tidak? Kalau ada yang lebih layak duduk di situ, kenapa tidak? Saya okey saja.

“Bagaimanapun, jangan letak seseorang yang tak faham dan bercakap saja, tapi tak boleh tolong mereka,” katanya.

Dalam masa sama, Khadijah mengakui tidak ambil peduli dengan komen negatif yang dilemparkan kepadanya.

“Saya tak baca dan dengar komen negatif. Saya bersyukur kalau ada yang beri komen baik atau buruk terhadap saya.

“Kalau ada yang beri kritikan tak membina untuk saya, buat apa? Jadi, saya biarkan saja. Dia cakap macam-macam, dosa dia yang dapat,” katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 9:54am
d