rap

Aweera ada band baru

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Aweera, 27, kini muncul bersama band baru dikenali sebagai Pelita Lusoh selepas menarik diri sebagai vokalis band Prime Domestic.

Menurutnya, dia ingin terus berkarya bersama band baru itu, dan pada masa sama akan terus mengembangkan namanya sebagai penyanyi solo.

“Saya wujudkan band ini sebagai platform kepada pemuzik untuk ‘cari makan’ kerana daripada apa yang saya nampak, industri muzik kita hari ini lebih tertumpu kepada penyanyi solo,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada timbul kerisauan sekiranya pengalaman lama bersama band terdahulu akan berlaku lagi, Aweera atau nama sebenanrya Nasharul Aweera Noriyissham berkata dia mula belajar banyak benda daripada pengalaman.

“Saya masih baru dalam industri dan masih belajar. Daripada apa yang saya belajar, sebagai band, kita tak boleh terlalu tertekan dalam berkarya.

“Berkarya tidak sama seperti melakukan perniagaan. Kita kena peka akan hal itu,” katanya.

Dia juga berkata, tidak menjadi masalah buatnya untuk seimbangkan antara komitmen sebagai vokalis dan gitaris Pelita Lusoh, dan juga sebagai penyanyi solo.

“Saya beri contoh, mendiang Chris Cornell. Dia cukup dikenali sebagai penyanyi solo dan pada masa sama, menjadi anggota beberapa band. Itu tak menjadi masalah.

“Muzik itu bebas dan tiada sebarang sekatan. Alhamdulillah, dua anggota lain Pelita Lusoh juga memahami komitmen dan tanggungjawab saya,” katanya.

Selain Aweera, Pelita Lusoh yang juga dianggotai Anep (pemain dram) dan Alan (gitaris) dan mereka kini sedang menyiapkan single pertama, Pelita Ini Lusoh (PIL).

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 1:05pm
d