rap

Idam status jejaka segak...

Oleh Ramlah Zainal

PENYANYI popular Syamel mendakwa dia terpaksa menurunkan berat badan lagi 10 kilogram untuk tampil lebih yakin sebagai selebriti.

Menurut Syamel, berat badannya kini turun dari 99 kilogram kepada 80 kilogram sekarang.

“Bukannya mahu tampil sado tetapi saya gigih menurunkan berat badan sekarang untuk tampil segak dan bergaya bila memakai baju.

“Pada masa sama, bila sudah mendapat berat badan ideal, saya juga lebih yakin untuk mencari teman wanita atau pasangan hidup nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Namun, kata Syamel, dia bukannya mahu menyindir mereka yang berbadan besar tidak memiliki keyakinan diri.

“Badan kurus atau gemuk tiada masalah dan ia pilihan individu itu.

“Saya pula berusaha menurunkan berat badan untuk kepuasan diri sendiri dan bukan untuk orang lain.

“Maklumlah, saya pernah memiliki badan besar dulu. Kini sampai masanya saya mendapatkan berat badan diimpikan pula,” katanya.

Diminta mengulas penurunan berat badannya itu, kata Syamel, dia juga mensasarkan untuk mendapatkan berat badan sekurang-kurangnya 70 kilogram pada tahun depan.

“Bukan saja untuk menjaga penampilan sebagai selebriti, ia juga untuk menjaga kesihatan terutama menjaga tahap stamina di pentas.

“Selain menjaga aspek pemakanan, saya juga tidak makan nasi dan bermain futsal sekurang-kurangnya tiga kali seminggu,” katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 2:43pm
d