rap

Raihan sudah 'mangli'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

SELAMA 22 tahun bertapak dalam industri hiburan tempatan melalui genre nasyid dengan pelbagai pengiktirafan dalam dan luar negara, kumpulan Raihan sudah melalui pelbagai susah serta senang.

Kumpulan yang kini dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim percaya dengan niat asal yang kekal mekar mahu mendidik masyarakat melalui lagu ketuhanan membuatkan mereka masih bertahan.

“Kalau nak ikutkan susah senang selama 22 tahun ini, memang akan ‘give-up’ (berputus asa), tetapi kami kekal bertahan sebab niat asal dengan izin Allah.

“Lagu yang dicipta masuk sekali dengan lirik sebab muzik juga adalah ciptaan Allah dan ia adalah medium yang turut memberi kesan kepada masyarakat,” kata Che Amran.

Namun, mereka akui usia lebih dua dekad dalam industri muzik tidak menjamin apresiasi peminat tempatan.

Ini kerana Raihan tidak diletak di tempat sewajarnya dalam industri seni terutama nyanyian tempatan walaupun pernah tersenarai dalam 500 Muslim Paling Berpengaruh Dunia sejak 2008 hingga 2016.

Malah, Raihan juga sering membuat persembahan di serata dunia termasuk di negara Arab, Afrika, Amerika Utara dan Australia sejak lewat 1990-an sehingga kini.

“Dari segi sambutan, kami lebih dikenali di luar negara dan jemputan datang daripada masyarakat negara itu, bukannya daripada pelajar atau rakyat Malaysia yang menetap di sana seperti diuar-uarkan.

“Tapi kami sudah ‘mangli’ (lali) dengan layanan sebegini di Malaysia dan kena terima hakikat ini,” katanya.

Tanpa berselindung, Raihan mengakui peminat Indonesia jauh lebih menghargai sehinggakan ada yang cuba menuntut mereka sebagai pemuzik Indonesia.

Selain itu, ada pula peminat dari Bangkok, Thailand yang membuka hotel mesra Muslim dan dedikasi dua dewan di hotel itu dengan nama Raihan.

Enggan terus mengeluh dengan sambutan ‘suam-suam kuku’ daripada stesen TV dan radio tempatan, Raihan akur situasi ini adalah sebahagian daripada susah senang mereka.

Dalam pada itu, Raihan dalam perancangan menyusun semula muzik lagu popular mereka agar lebih mesra pendengar sekarang.

“Ada yang tanya pasal penghasilan single baru, tapi tunggulah masa sesuai sebab pergi mana-mana pun lebih ramai yang mahu bawakan lagu lama.

“Tak salah pun nak buat lagu baru cuma bukan sekarang. Ramai rakan artis mengeluh hal sama apabila lagu baru mereka kurang dapat sambutan berbanding lagu lama,” katanya.

Raihan berpendapat lagu mereka masih menjadi benteng dan bekalan buat peminat mereka sedari dulu dalam mencari kekuatan diri dan mendepani cabaran sebagai orang Islam pada zaman ini.

Bagi mengubat kerinduan peminat, Raihan bakal mengadakan konsert Khas Raihan secara akustik yang bakal berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 9 Disember depan.

Sebelum itu, mereka antara enam artis tempatan termasuk Rabbani, Mawi, Aris Ariwatan dan Daly Filsuf yang akan membuat persembahan pada konsert Hubbu Rasul sempena sambutan Maulidurasul di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut, esok.

Pada konsert Hubbu Rasul, mereka akan menyampaikan tiga lagu popular Raihan antaranya Ya Nabi Salam Alaik, Ya Rasulullah dan Thank You Allah.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 7:01am
d