rap

Dimensi baru Robin Hood

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

Bagi mereka yang pernah mengikuti kisah legenda Robin Hood, pasti terkejut dengan kisah terbaru dipaparkan dalam filem aksi terbaru berjudul sama, minggu ini.

Robin Hood kali ini memperkenalkan semula watak ikon itu dengan perwatakan lebih gelap, namun kekal menjadi adiwira buat masyarakat tertekan di sebuah bandar yang kacau-bilau.

Dalam filem aksi pengembaraan ini, Robin menentang kerajaan korup melalui pertarungan dan kebangkitan rakyat, selain dibelenggu dengan isu persahabatan dan romantik.

Pengarahnya, Otto Bathurst sememangnya mahukan permulaan baru dan membentuk semula acuan Robin Hood dengan rentak yang lebih pantas dan pembikinan filem yang kontemporari.

Pengarah yang dikenali melalui siri televisyen genre drama gengster, Peaky Blinders dan Black Mirror ini berkata, dia sukakan sesuatu kisah di luar jangka.

“Bagi saya, Robin Hood mempunyai pembikinan karya yang ada elemen kontemporari dan kisah yang relevan.

“Di sini penonton melihat watak ini mempunyai kehidupan selesa dan sempurna tetapi masih pergi berperang, penuh dengan idea, kepercayaan dan semangat yang kuat.

“Di depan matanya jelas kelihatan isu rasuah dan kejahatan mereka yang mengurus dunia lantas membuatkan dia mula bangkit,” katanya.

Situasi itu juga menghancurkan kepercayaannya terhadap bangsa, agama dan menyebabkan dia mula mengalami delusi.

Bathrust akui penonton melihat Robin sebagai seorang adiwira tetapi dia mahu melihat mengapa dan bagaimana watak itu menjadi legenda?

Malah, dia juga mahu tahu apakah perkara yang membuatkan Robin ‘terbakar’ dari dalam selain perkara yang memberi inspirasi kepadanya untuk memberontak demi kebenaran.

Pengarah itu akui ada idea kuat tersendiri mengapa penonton sukakan konsep Robin Hood yang dulu dan kini.

“Saya banyak berfikir mengenai Robin dan siapa dirinya dalam pemikiran saya. Anda tidak menjadi legenda dengan hanya mencuri beberapa beg duit daripada orang kaya dan memberi semula kepada orang miskin. Ia memang perkara yang bagus cuma tidaklah perkara yang bersifat ikonik,” katanya.

Bathurst berpendapat sebab sebenar Robin Hood menjadi adiwira selama 800 tahun adalah dia ada ‘luka yang sangat dalam’ di dalam masyarakat dan kerajaannya.

Katanya, mungkin disebabkan itulah rakyat menyayanginya kerana dia ialah simbol yang menyuarakan ketidakadilan serta ‘status quo’ yang sebenarnya berpunca daripada masyarakat sendiri kerana membenarkan ia berlaku.

“Dia ialah refleksi kepada kita semua walaupun tidak mempunyai kuasa luar biasa atau dilahirkan adiwira. Dia hanya manusia biasa yang bersedia melakukan perubahan dan mengorbankan kehidupan selesa untuk gambaran lebih besar.

“Kita pernah jadi saksi tekanan, korupsi dan penganiayaan dalam apa saja bentuk, tapi segelintir saja yang benar-benar melakukan sesuatu untuk mengubahnya,” katanya.

Baginya cerita kali ini adalah cerita seorang lelaki yang bersedia meletakkan kepalanya untuk dipotong dan berlawan demi kebenaran.

Robin Hood 2018 menampilkan Taron Egerton sebagai watak utama yang mempunyai aura sebagai pahlawan moden.

Egerton memegang watak Lord of Loxley, veteran perang yang kehilangan segala-galanya termasuk cinta hatinya, Marian lakonan Eve Hewson.

Dengan bantuan seorang lagi veteran perang Moor bernama John (lakonan Jamie Foxx) yang juga musuh ketatnya suatu ketika dulu, Loxley atau Robin mula mengangkat alter-ego baru sebagai pemberontak memakai hud yang melawan kerajaan korupsi dan mencari keadilan untuk rakyat.

Egerton ketika ditanya mengenai watak itu, mengakui tertarik menyertainya kerana tiada istilah tradisional atau era tertentu.

“Ia bukan Robin Hood yang kita pernah tonton sebelum ini, permintaan kami adalah untuk pergi jauh dan mencipta sesuatu yang lebih kontemporari.

“Filem ini dihasilkan dengan ‘pacing’ yang menarik dan menghiburkan, malah wujudnya elemen persahabatan, romantik serta aksi mengerikan,” katanya yang cukup dikenali dalam filem The Kingsman, sebelum ini.

Jamie Fozz pula berkata pengarah dan produser, Leonardo DiCaprio mempunyai visi Robin Hood tersendiri yang disifatkan segar.

Untuk itu, bukan saja aksi, malah karakter dan kostum diberi kelainan tersendiri.

“Robin Hood ini adalah ‘haiwan tersendiri’ yang membawa anda ke suatu tempat di luar jangka!” kata Jamie Foxx.

Robin Hood 2018 ditayangkan bermula semalam di pawagam tempatan menampilkan nama besar selain Egerton dan Jamie Foxx, antaranya Eve Hewson dan Jamie Dornan.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 7:32am
d