rap

Baguslah dah berdamai...

Oleh Michelle Gun

KUMPULAN Forteen dan Izzue Islam akhirnya berdamai ketika mereka dipertemukan dalam satu acara, semalam.

Pertemuan itu menyaksikan Izzue bersama tiga anggota Forteen iaitu One, Ariz Lufias dan Amer saling berpelukan dan sebak.

One atau nama sebenarnya Mohammad Ridzuan Sharifuddin berkata, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menyingkirkan Izzue dari Forteen.

“Aku sayang kau sangat dan sangat berharap perkara ini boleh diubah. Minta maaf juga sebab sepanjang perkenalan kita, masing-masing ada ego tinggi,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Walaupun sukar menerima hakikat itu, Ariz berkata, dia dan anggota lain menerima keputusan Izzue dengan baik.

“Apa pun, kami tidak boleh paksa dia. Apa saja keputusan dia, kami terima dengan baik. Tujuh tahun kami bersama, tidak sepatutnya ada alasan untuk berpecah,” katanya.

Sementara itu, Izzue yang juga pelakon turut memohon maaf kepada anggota kumpulan berkenaan.

“Kita semua okay, tetapi masing-masing ada ego. Saya pun sama. Sekurang-kurangnya perkara ini sudah selesai.

“Selepas ini, apabila ada masa kita boleh bincang balik mengenainya,” katanya.

Bagaimanapun, Izzue tetap dengan pendiriannya untuk berundur daripada Forteen.

Minggu lalu, Izzue membuat pengumuman mengejut mahu mengundurkan diri daripada Forteen pada konsert akhir Gegar Vaganza musim kelima.

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 2:04pm
d