rap

Pelakon bukan Melayu tak kurang hebat

Oleh Cik Pang

Cerita ini mungkin lama tetapi selepas berbual dengan seorang teman, Cik Pang rasa elok juga jadi pedoman buat pelakon tempatan.

Apatah lagi pelakon kita yang rata-rata terlampau selesa dengan bakat masing-masing sehingga berasakan tidak perlu ditegur lagi.

Dakwa teman Cik Pang, ketika melihat senarai Top 5 beberapa kategori dalam Anugerah Skrin 2018, dia terkejut melihat beberapa nama baharu yang tidak pernah didengari peminat tempatan.

Antara yang dibualkan teman Cik Pang mengenai kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian yang melihat nama seperti Pauline Tan (The Memoir Of Majie), Amyra Rosli (Nur), Wayne Chuan (Green wall), Fasha Sandha (Teratai Kemboja) dan Emily Chan (Growth Behind The Sun).

Teman Cik Pang akui kurang menonton drama bukan berbahasa Melayu tapi selepas melihat senarai itu, dia percaya pelakon Melayu perlu lebih sedar diri dan ruang selepas ini.

Walaupun kategori itu dimenangi Amyra Rosli melalui drama Nur, ia menunjukkan pelakon bukan Melayu sebenarnya memberi persaingan sengit buat pelakon Melayu.

Ia membuktikan kita ada ramai pelakon bukan Melayu tempatan yang sangat hebat dan wajar diberi peluang sama dalam drama popular tempatan jika mahu karya tempatan diterima semua golongan.

Cik Pang sendiri percaya industri hiburan tempatan perlukan anjakan paradigma, seiring dengan Malaysia Baru yang kita asyik laungkan.

Anjakan ini mampu mengubah senario industri hiburan yang sebelum ini sekadar dipenuhi dengan elemen khayal dan syok sendiri.

Nak orang luar pandang dan hargai karya kita? Senang saja! Ubah mentaliti dan jangan cepat selesa dengan pencapaian dimiliki.

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 11:01am
d