rap

'Doakan isteri saya...'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYAMPAI radio Suria FM, Fizi Ali berharap kedudukan songsang bayi dalam kandungan isterinya, Shakilla Khoriri yang kini hamil enam bulan kembali normal, sebelum bersalin yang dijangka pada Mac tahun depan.

Fizi, 29, atau nama sebenarnya Mohd Hafizudin Alimudin berkata, perkara itu dimaklumkan doktor ketika isterinya dimasukkan hospital lima hari lalu akibat keracunan makanan.

“Isteri mengalami keracunan makanan yang teruk hingga dimasukkan enam botol air. Disebabkan isteri tak henti muntah dan badan panas, dia ditahan dalam wad selama dua hari.

“Ketika itu juga doktor terus buat pemeriksaan terhadap bayi dalam kandungan. Terkejut apabila dimaklumkan kedudukan bayi songsang.

“Bagaimanapun, doktor memaklumkan kedudukan bayi boleh kembali normal sebab baru enam bulan. Jadi, saya berharap semua boleh doakan yang terbaik buat isteri dan bayi dalam kandungannya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fizi dia sentiasa berdoa agar proses bersalin dipermudahkan.

Fizi berkata, isteri kini lebih banyak duduk di rumah dan tidak membiarkannya melakukan kerja berat.

“Selepas keluar hospital keadaan isteri dan bayi okey. Sekarang, isteri lebih banyak berehat di rumah. Dalam keadaan sekarang, risau juga kalau dia sakit. Kasihan pada dirinya dan bayi.

“Kalau boleh isteri nak bersalin normal. Begitu juga saya. Cuma, apa yang paling penting adalah kedudukan anak ‘terpusing’ sebelum dilahirkan,” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 1:50pm
d