rap

Pening nak pilih 12 lagu

Oleh Georgie Joseph

PEMILIHAN 12 lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33) sememangnya sukar buat barisan juri profesional diketuai Datuk Mokhzani Ismail, Lok U, Ajai, Helen Yap, Edrie Hashim, Azmeer dan Cat Farish.

Pada saingan separuh akhir Muzik Muzik 33 yang berlangsung tiga minggu sebelum ini, sebanyak 30 lagu yang bertanding adalah hebat-hebat belaka.

Sehubungan itu, amat sukar untuk menentukan mana lagu yang sangat kuat dan tepat dipertandingkan di AJL33 yang akan berlangsung pada 3 Februari, tahun depan.

Mokhzani berkata, pemilihan 12 lagu itu dibuat selepas menitikberatkan pelbagai aspek bagi menepati piawaian prestij anugerah itu.

“Memang terlalu sukar untuk memilih 12 lagu yang terbaik kali ini. Ini kerana semua lagu ada kekuatan tersendiri. Bagaimanapun, kami sebulat suara memilih yang terbaik berdasarkan aspek-aspek tertentu.

“Bukan saja memberi kuota adil kepada kepelbagaian genre lagu bertanding, kami juga melihat dari aspek komposisi lagu selain teknikal termasuklah vokal. Kreativiti yang kuat serta faktor ‘crowd puller’ juga antara aspek kami tekankan.

“Jika melihat senarai lagu bertanding, genre balada sangat kuat. Namun, kami berusaha menilai dan memilih lagu-lagu balada yang terbaik untuk AJL33 selepas melihat daripada aspek kompleksiti serta nilai komersial lagu terbabit,” katanya.

12 lagu yang layak ke AJL33 ialah Semakin (Siti Sarah), Bunga (Ara Johari), Kau Pun Sama (Syamel), Sampai Bila (Misha Omar), Haram (Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah), Luluh (Khai Bahar), Bunga (Altimet), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli ft Aman Ra), Tak Pernah Hilang (Amylea dan Kaer), Hajat (Hael Husaini), Di Matamu (Sufian Suhaimi) dan Nisan Cinta (Siti Nordiana dan Jaclyn Victor).

Melihat kepada senarai lagu, hampir semuanya terdiri daripada penyanyi yang tidak asing di pentas AJL.

Hakikatnya, keseimbangan penyanyi lama dan baru yang tersenarai pastinya memberikan lebih keterujaan.

Menurut Mokzhani, faktor itu jelas akan menjadi kelebihan kepada pertandingan itu nanti sekali gus bertepatan dengan prestij AJL yang sememangnya memiliki ramai pengikut.

“Saya memang sangat berpuas hati dengan senarai ini. Kalau ikutkan, penyanyi yang bertanding juga adalah nama-nama besar selain memiliki kelompok peminat yang ramai.

“Walaupun pentas AJL adalah acara untuk mengiktiraf pencipta lagu dan penyanyi hanya menyampaikan, adalah penting untuk melihat impak penyanyi juga. Disebabkan itulah kami membuat penilaian secara keseluruhan termasuklah daripada penyanyi,” katanya.

Dalam pada itu, selepas muncul juara AJL32 menerusi lagu Jampi, penyanyi dan komposer Hael Husaini terus bersinar apabila tiga lagunya layak ke AJL tahun depan.

Selain lagu nyanyiannya Hajat serta duet bersama Dayang Nurfaizah dalam lagu Haram, lagu ciptaannya Nisan Cinta nyanyian Siti Nordiana dan Jaclyn Victor turut layak.

Hael berkata, dia tidak mahu meletakkan tekanan kepada dirinya dan tidak mengharapkan untuk mengulangi kemenangannya pada AJL awal tahun ini.

“Saya bersyukur apabila rezeki berpihak kepada saya untuk tiga lagu itu. Saya juga bersyukur dengan pencapaian yang tentu sekali berbaloi untuk usaha saya berkarya selama ini.

“Namun, saya tidak mahu terlalu berharap dan menekan diri demi mengulangi kejayaan lalu. Saya cuma akan melakukan persiapan yang terbaik dan mahu berseronok menerusi persembahan di pentas AJL nanti,” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 4:38pm
d