rap

'Pengalaman mereka menginsafkan'

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

PELAKON Datuk Seri Eizlan Yusof menyifatkan perkongsian pengalaman dilalui mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu, Indonesia sebagai perkara yang mengerikan selain menginsafkannya.

“Apabila berjumpa dengan mangsa terselamat yang bercerita bagaimana kejadian berlaku sehingga meranapkan satu perkampungan besar, saya tidak dapat menahan air mata.

“Saya tidak tahu nak cakap macam mana, tetapi ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk menyertai misi kemanusiaan seperti ini pada masa depan,” katanya.

Eizlan juga anggota bersekutu CDERT Ohhsem Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama 42 anggota sukarelawan daripada pelbagai agensi mengikuti Misi Bantuan Kemanusiaan Bencana Sulawesi Tengah, Palu, Indonesia kali ke-3.

Mereka ke kawasan terbabit sejak 15 November lalu sebelum pulang ke tanah air, kelmarin.

“Ketika ke kawasan Balaroa, saya diberitahu banyak mangsa terkorban. Itu belum masuk di kawasan lain.

“Saya memang rasa sedih dan apabila pergi ke kawasan itu, ia seolah-olah satu kampung ditelan bumi, tak tahu nak kata apa,” katanya.

Bagaimanapun, perasaan pilu dan sedih itu terpaksa 'disorok' kerana perlu memberi kata-kata semangat kepada mangsa dan sukarelawan terbabit.

Katanya, biarpun usaha menyelamat sudah tamat, namun misi diikuti ini disifatkan penting kerana perlu memberi sokongan pemulihan trauma dan psikologi kepada mangsa yang terselamat.

Dalam pada itu, pelakon itu turut berbangga kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa juga melawat mangsa selain menyampaikan sumbangan bersama-sama mereka.

Selain Malaysia, misi itu turut disertai sukarelawan dari Indonesia dan Singapura.

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 8:18pm
d