rap

Pengiktirafan buat Ella

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA bersyukur kepada Allah S.W.T dan terima kasih pada penganjur kerana memberi pengiktirafan sebesar ini,” kata Ratu Rock Ella apabila menerima Anugerah The BrandLaureate Icon Celebrity Awards 2018.

Ella berkata, anugerah itu juga pengiktirafan kepada semua yang terbabit dalam membina nama, kerjaya dan jenamanya sepanjang 32 tahun berkecimpung dalam bidang seni tanah air.

“Tanpa kerja berpasukan dan sokongan peminat, tidak mungkin jenama saya kekal dan kukuh dalam industri muzik tanah air sehingga kini,” katanya.

Ella berkata demikian ketika ditemui pada majlis The BrandLaureate Brand Icon Leadership Awards 2018 Gala Dinner anjuran Asia Pacifics Brands Foundation (APBF) di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam ini.

Anugerah disampaikan Pengerusi APBF Tan Sri Rainer Althoff.

Anugerah berprestij dalam dunia penjenamaan itu mengiktiraf Ella kerana pencapaiannya dalam industri muzik tempatan serta kejayaannya membina jenama sebagai ikon rock wanita terkenal di rantau ini.

Pengiktirafan itu kerana kejayaan Ella mengukuhkan jenamanya dengan menghasilkan karya hebat sepanjang karier seninya selama tiga dekad sekali gus masih kekal sebagai teraju utama genre rock sehingga kini.

Selain Ella, dua lagi artis yang turut menerima anugerah The BrandLaureate ialah Datuk Ramli Sarip dan Anuar Zain.

The BrandLaureate Brand Icon Leadership Awards mula diperkenalkan APBF untuk meraikan kehebatan ikon jenama yang menyumbang kepada pembangunan negara dan ekonomi dengan pemikiran dan idea yang inovatif.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 11:28pm
d