rap

Altimet kata 'cukuplah rap'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI rap, Altimet, 40, hari ini mengumumkan bahawa dia akan berhenti bergerak sebagai penyanyi rap dan menolak beberapa tawaran persembahan walaupun bayarannya tinggi.

Menurut Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, dia bagaimanapun akan membuat persembahan di acara konsert pada Februari tahun depan yang juga akan menjadi persembahan terakhirnya.

"Selepas ini, tidak akan ada lagi album mahu pun persembahan daripada saya melainkan di acara konsert terakhir pada Februari depan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Bunga itu, ini bukanlah gimik.

"Kalau gimik, tak mungkin saya akan tolak beberapa tawaran persembahan. Sejujurnya, bersempena malam tahun baru saja, saya dapat lima tawaran.

"Namun, kerana saya seorang yang 'degil' dan nak tetap dengan pendirian saya, saya tolak walaupun bayaran untuk setiap persembahan itu ada yang mencecah lima angka," katanya.

Diminta mengulas sekiranya ada pihak yang menganggap bahawa keputusannya untuk berhenti itu tidak meyakinkan memandangkan dia akan mengadakan konsert pada tahun depan, Altimet berkata, dia hanya mampu merancang.

"Saya rancang semuanya sejak awal-awal saya menjejakkan kaki ke dalam industri. Saya rancang untuk terbitkan album terakhir dan adakan konsert pada November 2018, namun, saya hanya mampu merancang.

"Kerana momentum kejayaan karier seni saya nampak positif, banyak hal yang membuatkan saya berfikir beberapa kali sebelum berhenti.

"Lagi pula, dah alang-alang karya terakhir, saya ambil masa lama untuk berikan album yang berkualiti dan kerana itu jugalah, saya mahu lakukan persiapan secukupnya untuk konsert," katanya.

Bermula hari ini, sehingga Februari tahun depan, Altimet tidak akan muncul membuat persembahan. Mengenai tarikh dan lokasi konsert, ia masih lagi dalam perbincangan.

Walaupun berhenti sebagai penyanyi rap, Altimet akan meneruskan kerja-kerja belakang tabir sebagai pencipta lagu dan penulis lirik untuk artis lain.

Altimet juga hari ini melancarkan album terakhirnya berjudul O dan memperkenalkan single pertama daripada album tersebut, kolaborasi bersama penyanyi, Cuurley.

Lagu Bunga nyanyian dan ciptaannya juga diumumkan layak bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33), namun dia akan digantikan oleh penyanyi rap lain.

Tidak mengumumkan nama penyanyi rap yang akan menggantikannya menyampaikan lagu Bunga, Altimet hanya memberikan pembayang 'mereka' dan meminta peminat bersabar menantikan iklan promosi acara muzik terbesar negara itu.

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 6:22pm
d