rap

Aiman nak buka kafe studio

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON, Aiman Hakim Ridza berkongsi bakal mewujudkan kafe studio bagi memudahkan orang ramai berkongsi dan mengetengahkan bakat dalam bidang muzik.

Aiman, 29, berkata, itu adalah impian terbesarnya dalam bidang seni dan berharap perkara itu dapat direalisasikan tahun depan.

"Buat masa sekarang, saya dalam proses nak 'set up' kafe yang turut menempatkan studio rakaman yang akan diselia oleh penyanyi, Awi Rafael. Kami bekerjasama dalam menjayakan projek ini.

"Ini sesuatu yang baru sepanjang hampir 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni. Saya berharap perancangan ini berjalan lancar. Apatah lagi ini memang impian saya dari dulu lagi untuk memiliki studio dan syarikat rakaman sendiri.

"Saya percaya, sebagai artis perlu ada perkara yang menceritakan siapa mereka. Ia penting untuk jadi lebih berdikari," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aiman yang juga bekas peserta program Mentor musim kelima, kafe studio itu menggunakan hasil titik peluh sendiri.

Dalam masa sama, Aiman memasang impian untuk memiliki platform online dan aplikasi sendiri.

"Kafe studio ini berkonsepkan kandungan hab digital. Kiranya, ia bukan kafe untuk orang berkumpul semata-mata. Sebaliknya, mereka juga boleh berkongsi kreativiti dimiliki.

"Selain single, saya ada impian yang lebih besar iaitu nak ada platform online dan aplikasi sendiri. Bagi saya, ini adalah pembuka jalan dan hala tuju ke mana saya suatu hari nanti," katanya.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam drama pendek Sunsilk #siscuba yang ditayangkan di TV3 dan ntv7, Aiman berkata, ia sesuatu yang baru apatah lagi berlakon bersama tiga pelakon baru iaitu Nabila Razali, Syifa Melvin dan Sarah Suhairi.

"Bagi saya tak ada masalah berlakon dengan pelakon baru atau lama. Apa yang penting semangat nak bekerja. Secara peribadi, saya melihat mereka minat berlakon dan perkara itu jelas menerusi hasil diberikan. Ia sekali gus memudahkan kami mendapat keserasian.

"Apabila dimaklumkan senarai pelakon, saya 'looking forward' nak bekerja dengan mereka. Tak ada istilah saya perlu bekerja keras berlakon dengan mereka sebab masing-masing memberikan lakonan semula jadi. Dalam erti kata lain, mereka 'sporting' dan bagus," katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 1:25pm
d