rap

Nina Iskandar cedera, kereta 'total lost'

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

PELAKON Nina Iskandar, 27, menjadi mangsa langgar lari apabila kereta dipandunya dilanggar dua kereta di ibu negara, semalam.

Perkara itu dikongsi rakan pelakon, Amyza Aznan yang turut berlakon bersama Nina dalam set drama Setelah Cinta Itu Pergi yang masih dalam proses penggambaran.

Amyza mendedahkan, akibat pelanggaran itu, Nina mengalami cedera di bibir dan dipercayai retak tulang belakang.

“Kereta 'total lost'! Dua kereta langgar, sebuah berhenti dan sebuah lagi melarikan diri,” dedah Amyza dalam laman sosialnya, lewat malam tadi.

Dalam satu pesanan ringkas daripada Nina kepada rakan pelakon lain dan turut dikongsi Amyza di laman sosial sama, mendedahkan kecederaan tulang belakang dialami menyebabkan dia kini sukar bergerak.

“Terima kasih atas doa. Saya okey, Insya Allah. Hanya 'koyak bibir' dan retak tulang belakang. Jahitan (akibat cedera) sudah boleh dibuka dalam masa seminggu.

“Ibu saya berada di sini untuk menjaga saya dan Insya Allah akan bawa saya pulang ke Brunei untuk rawatan selanjutnya," tulis pelakon itu ringkas.

Bagaimanapun, usaha Harian Metro untuk menghubunginya bagi mendapatkan maklumat mengenai situasi terkini tidak berjaya kerana pelakon itu dipercayai sedang berehat untuk menjalani rawatan.

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 1:48am
d