rap

Tak mahu ketinggalan lagi

Oleh Georgie Joseph

ENGGAN namanya ketinggalan dalam bidang lakonan, Lia Natalia sanggup bekerja keras untuk menurunkan berat badan hingga berjaya turun sebanyak 20 kilogram dalam tempoh empat bulan.

Lia, 26, berkata, dalam tempoh itu dia menjaga disiplin dengan mengawal pemakanan, bersenam dan mengambil produk kurus.

“Sejak awal tahun ini, saya nekad melakukan perubahan dari segi penampilan. Saya mahu memperbaiki imej dan memastikan saya kekal relevan dalam industri hiburan.

“Berbanding rakan seangkatan Janna Nick, nama saya jauh ke belakang. Jadi, saya tidak mahu terus berada di belakang dan berusaha untuk mengubah penampilan.

“Memang susah, tapi saya bangga dengan usaha ini kerana selain berjaya menurunkan berat badan, saya juga memotong rambut. Selain itu saya akan mencantikkan gigi pula selepas ini,” katanya.

Pelakon drama Isteri Untuk Disewa itu juga mengakui perubahannya itu dapat memberi lebih banyak peluang karier lakonannya.

“Saya pernah berdepan saat sukar apabila tidak ada tawaran berlakon. Ia menyebabkan saya kecewa dengan nasib saya sebagai pelakon.

“Namun, ia berjaya membuka mata saya dan usaha ini berjaya membuahkan hasil apabila tawaran berlakon akhirnya tidak putus-putus datang. Selain lakonan, saya turut aktif dalam bidang pengacaraan,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 2:55pm
d