rap

Filem animasi Ejen Ali lebih gah [METROTV]

Oleh Michelle Gun

PRIMEWORKS Studios mengumumkan filem animasi Ejen Ali bakal ditayangkan hujung tahun depan.

Pencipta dan Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin berkata, filem itu akan memperkenalkan beberapa elemen baru yang belum dipaparkan dalam siri di televisyen.

“Antaranya, perkenalan ejen baru serta paparan bandar Cyberjaya dengan lebih dalam.

“Kalau dalam siri televisyen, hanya sebahagian kecil kawasan bandar dan sekolah ditunjukkan kepada penonton.

“Malah, beberapa ejen MATA baru juga akan diperkenalkan kepada penonton,” katanya pada majlis pelancaran filem dan produk baru Ejen Ali sempena Musim Kembali ke Sekolah di Subang Jaya, hari ini.

Usamah berkata, watak antagonis penuh misteri dari masa silam Ali mampu membuatkan jalan cerita filem itu lebih menarik.

“Alat IRIS yang ditambah baik, pelbagai peranti baru dan kenderaan lebih canggih juga akan diketengahkan.

“Elemen mengujakan ini akan dilengkapkan dengan cerita penuh emosi,” katanya.

Sementara itu, aplikasi permainan baru Ejen Ali akan dilancarkan sebelum tayangan filem selain penambahan beberapa peringkat baru kepada permainan sedia ada.

Sejak dilancarkan pada 2016, Ejen Ali kini bersiaran di 50 buah negara dan menjadi program kanak-kanak popular di rantau Asia Tenggara.

Ejen Ali mengisahkan kanak-kanak yang secara tidak sengaja terikat dengan peranti perisikan IRIS milik agensi pengintip, MATA.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 9:54pm
d