rap

Nak tengok gambar Aafiyah, tunggu ayahnya 'approve'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

DATUK Seri Siti Nurhaliza akan meminta izin suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K sebelum memuat naik gambar anak mereka, Siti Aafiyah yang kini berusia lapan bulan di Instagram.

Siti, 39, berkata, dia pernah memadam gambar Aafiyah yang sudah dimuat naik disebabkan suami berasakan ia kurang sesuai.

“Sejak Aafiyah lahir lagi, suami kalau boleh tak nak terlalu dedahkan anak di laman sosial. Hingga nak muat naik gambar pun saya kena minta izin terlebih dahulu sama ada okay atau tak foto berkenaan.

“Kalau suami kata okay, baru saya letak. Ada ketika dia yang beri cadangan gambar mana yang nak diletak. Pernah juga, selepas saya muat naik gambar, suami tak berkenan, jadi kena padam. Begitu juga dengan video.

“Alasan suami berbuat sedemikian kerana tak sesuai. Jadi, saya kena hormat pendirian suami,” katanya.

Siti yang kini popular menerusi lagu Anta Permana berkata, dia dan suami belum terfikir untuk mewujudkan akaun Instagram buat anak mereka.

“Saya tidak mahu cakap tak nak buat Instagram anak, sebab mana tahu pada masa akan datang Aafiyah ada Instagram, apa pula kata orang.

“Bua masa sekarang Aafiyah memang tak ada (Instagram). Macam saya pernah cakap, kalau ada yang menggunakan nama Aafiyah ia adalah akaun palsu.

“Cuma, saya tak nak mereka gunakan nama Aafiyah bagi tujuan jual produk. Kalau setakat nak abadikan gambar, saya tak kisah,” katanya.

Dalam masa sama, Siti tidak dapat membayangkan sekiranya Aafiyah dicalonkan dalam mana-mana acara anugerah bagi kategori si cilik.

“Macam Arif iaitu cucu kami, tidak mengapa sebab dia memang aktif di media sosial. Dari kecil lagi dia dilatih ibunya menjadi anak ‘cheeky’.

“Sejujurnya, masih tak boleh nak bayangkan perkara ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 10:42am
d