rap

Konsert Syantik ditunda

Oleh Ramlah Zainal

KONSERT penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Syantik bersama Siti Badriah yang dijadualkan pada 8 Disember ini

di Kenanga Wholesale City Mall, Kuala Lumpur terpaksa ditunda pada tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Konsert yang julung kali berlangsung di Kuala Lumpur itu dibawakan penganjur, Suasana Enak Sdn Bhd.

Menurut jurucakap penganjur, konsert Syantik terpaksa ditunda pada tarikh baru atas nasihat pihak tertentu.

"Pihak kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku kerana ia tidak disengajakan.

"Namun, semua peminat Siti Badriah di negara ini tidak perlu kecewa kerana pihak kami akan memberitahu tarikh baru konsert tidak lama lagi," katanya kepada Harian Metro.

Justeru, semua peminat yang sudah membeli tiket konsert Syantik berharga RM68 dan RM88 tidak perlu bimbang kerana penganjur akan memulangkan semula wang mereka.

"Pihak penganjur juga akan menghubungi dengan segera semua peminat yang sudah membeli tiket konsert terbabit.

"Sebelum ini, tiket berharga RM68 dan RM88 boleh dibeli melalui muat turun aplikasi TicketApps dari App Store atau Google Play.

"Keterangan atau maklumat terperinci, orang ramai boleh menghubungi talian +6011-20856500 dan +6010-301023," katanya.

Nama penyanyi Siti Badriah mula mendapat perhatian ramai di Indonesia dan Malaysia, selepas singlenya Lagi Syantik yang dimuat naik di YouTube sejak Mac lalu mencecah jumlah tontonan lebih 400 juta.

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 2:10pm
d