rap

Tak yakin produk sendiri?

Oleh Cik Pang

SUDAH menjadi kebiasaan pelakon yang terbabit dengan mana-mana karya sama ada drama, telefilem atau filem akan mempromosikan naskhah lakonan mereka sebaik mungkin.

Usaha itu tidak hanya dilihat pada pelakon utama tetapi mereka yang juga sekadar memegang watak pembantu. Malah, mereka akan menggunakan semua medium bagi menghebahkan perkara itu.

Namun, lain pula jadinya dengan pelakon utama filem Awang Gerudi yang bakal ditayangkan 27 Disember ini. Apa yang Cik Pang tahu, Zoey Rahman dan Ika Nabila tiba-tiba saja membatalkan sesi fotografi pada saat akhir.

Difahamkan, sudah lebih seminggu mereka dimaklumkan mengenai tarikh itu dan mereka juga bersetuju menghadiri sesi fotografi pada tarikh yang ditetapkan.

Bagaimanapun, sehari sebelum tarikh itu, Zoey pula tiba-tiba ada penggambaran dan terpaksa membatalkan sesi fotografi. Ika yang awalnya bersetuju memberikan alasan jika Zoey tidak dapat hadir maka dia pun tidak mahu menjalani sesi fotografi berkenaan kerana mereka sudah berjanji untuk pergi bersama.

Wah! Cik Pang kagum dengan semangat setia kawan itu tetapi jika Zoey tidak dapat hadir, Ika yang ada masa terluang teruskan saja supaya dapat memberikan liputan lebih luas untuk filem lakonan mereka.

Peluang memegang watak utama dalam filem belum tentu datang setiap masa. Apabila ada peluang, promosikanlah sehabis baik. Adakah Zoey dan Ika kurang yakin dengan produk sendiri hingga enggan membuat sesi fotografi? Apa pun, Cik Pang harap mereka punya alasan yang lebih kukuh selain daripada yang sudah dinyatakan.

Masih ada masa untuk tetapkan tarikh baharu untuk fotografi. Marilah bekerjasama untuk promosikan filem berkenaan. Kalau bukan kita yang sokong karya tempatan, siapa lagi.

Disiarkan pada: December 2, 2018 @ 5:30am
d