rap

'YKAT agenda penting buat artis'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

RAYUAN bantuan kewangan pengebumian jenazah anak seni popular oleh keluarga arwah 10 tahun lalu memberi kesan mendalam terhadap Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave.

"Keadaan itu membuatkan saya terfikir untuk mewujudkan sebuah Yayasan menjaga kebajikan artis supaya kami boleh membantu menyelesaikan masalah seperti ini dalam kalangan anak seni.

"Tidak semua orang ada duit untuk uruskan kematian dan insiden itu banyak mengajar saya agar berusaha menyedarkan kalangan artis agar menyimpan dan buat persediaan sebelum kita meninggal dunia,” katanya.

Serius memikirkan hal itu dan selepas menubuhkan YKAT, beliau bersama beberapa rakan menjadikan program Khairat Kematian YKAT antara agenda penting yayasan.

Bagaimanapun sehingga kini ia belum diterima dengan meluas dalam kalangan rakan artis yang menjadi sasaran utama program ditubuhkan.

Justeru, beliau nekad meneruskan mempromosi program bersifatkan fardu kifayah itu melalui penjenamaan semula Khairat Kematian YKAT pada Jumaat (7 Disember) ini.

Program Penjenamaan Semula Khairat Kematian YKAT akan diadakan pada jam 2 petang bertempat di Tune Hotel, Kuala Lumpur.

"YKAT menjemput seluruh warga seni untuk mendengar sendiri taklimat khas yang bakal dibuat dengan kerjasama Darul Jenazah.

"Di majlis itu nanti, karyawan seni berpeluang apabila dengan hanya membayar yuran tahunan hanya RM100 setahun, mereka mampu mendapatkan pelbagai faedah khairat kematian," katanya lagi.

Antaranya, bantuan pengebumian RM1,500, upah Badal Haji, wang khairat RM3,000 kepada pewaris, RM10,000 kepada pewaris (jika meninggal kerana kemalangan), pencen keilatan sehingga RM10,000 (jika cacat separa) dan keseluruhan pakej yang bernilai RM6,000.

“Kematian dan setiap manusia tidak akan terpisah. Kita tidak tahu bila kita akan mati. Jadi, kita boleh bersedia supaya kematian kita nanti dalam keadaan di mana ahli keluarga tidak bermasalah untuk menguruskan jenazah kita.

“Saya mengharapkan sokongan semua penyanyi, pelakon, pemuzik dan semua anak-anak seni untuk hadir dan mendengar sesi taklimat yang amat bermakna ini,” kata Dave lagi.

Semua penyanyi, pelakon, pemuzik, penarik dan semua anak seni dari pelbagai medium dijemput hadir.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 6:22pm
d