rap

Zaaim kreatif, ada matlamat...

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI dan pelakon, Siti Nordiana Alias menyifatkan kejayaan protegenya, Zaaim merangkul persembahan terbaik dua minggu berturut-turut di pentas Mentor 7 sebagai perkara tidak dijangka.

Siti Nordiana atau Nana, 34, berkata kejayaan itu layak diperoleh oleh Zaaim kerana dia begitu menunjukkan kesungguhan untuk membuktikan bakatnya.

“Saya melihat Zaaim, seorang yang positif, bersungguh-sungguh dan paling utama dia tahu apa sebab tujuannya menyertai Mentor 7.

“Bahkan, dia (Zaaim) juga boleh menerima apa saja kritikan membina demi memperbaiki kelemahan diri. Atas sebab itu, dia sentiasa fokus di atas pentas,” katanya.

Menurut Nana lagi, anak didik bimbingannya yang berasal dari Kedah itu juga seorang yang kreatif termasuk memiliki mutu vokal tersendiri.

Nana berkata dia juga akan memastikan buat pilihan lagu yang sesuai untuk dipersembahkan oleh Zaaim pada setiap minggu selagi kekal bertahan.

Mengulas juga dakwaan mengatakan Nana adalah mentor yang ‘berselera kampung’ dalam pemilihan protegenya, ia diakui penyanyi lagu Hatiku Milikmu itu.

“Kalau saya dikatakan ‘selera kampung’, biarlah kerana itu memang diri saya. Orang lain, tidak boleh paksa saya jadi diri mereka.

“Apapun, sebagai seorang penyanyi saya tetap mendengar semua genre lagu biarpun ‘forte’ saya pada lagu yang mendayu-dayu.

“Dalam persembahan nyanyian dijayakan pun, saya ada saja mendendangkan lagu genre lain seperti balada, pop, R&B, rock dan sebagainya,” kata Nana.

Menjawab mengenai dirinya yang turut dikatakan ‘tidak bijak memilih’, Nana berkata terpulanglah apa saja yang nak dianggapkan.

“Sebagai mentor Zaaim, saya akan pastikan membuat pilihan lagu tepat yang popular, orang tahu dan memiliki pengaruh kuat.

“Saya mahu Zaaim betul-betul tunjukkan potensi vokal dimilikinya kerana dalam pertandingan program realiti TV seperti Mentor 7 ini, pemilihan lagu dibuat harus sangat teliti.

“Tidak dinafikan, sebenarnya saya berhadapan masalah sukar dalam membuat pemilihan lagu tepat untuk Zaiim setiap persaingan.

“Banyak lagu yang saya fikir tidak sesuai untuk dinyanyikan oleh Zaaim terutama yang mampu menonjolkan vokal versatil dimilikinya,” ujar Nana.

Selain itu, Nana turut menepis tegas dakwaan dia cuba mengaitkan elemen simpati buat Zaaim. Katanya, perkara itu tidak benar kerana dia tidak pernah buka cerita peribadi protegenya itu.

Mentor 7 yang disiarkan TV3, setiap Ahad itu diadili oleh dua juri tetap iaitu komposer berkaliber, Datuk Wah Idris dan penyanyi dangdut, Mas Idayu.

Selain Nana, Mentor 7 juga disertai oleh Datuk Syafinaz, Aizat Amdan dan Hafiz Suip.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 9:51pm
d