rap

Tajul hargai setiap peluang

Oleh Norhayati Nordin

Meskipun kini tampil dengan single duet terbaru berjudul Aku Serius bersama Wany Hasrita, Tajul tetap komited mengembangkan bakat seninya.

Selagi ada peluang depan mata dan niat mahu mencuba, anak bongsu daripada 10 beradik ini mengambil pendekatan bersedia menerima tawaran itu.

Penyanyi yang melonjak dengan single Sedalam Dalam Rindu ini berkata, setiap peluang yang diperoleh itu sangat bermakna meskipun ia dalam bidang lakonan.

Tajul, 20, memberitahu dia seorang positif dan bersikap terbuka untuk mengembangkan karier seni sebagai penyanyi dan pelakon.

“Walaupun pembabitan saya masih baru dalam lakonan tetapi jika tawaran diterima itu wataknya sesuai maka tidak salah untuk saya mencuba.

“Apatah lagi, saya pun sudah mula timba pengalaman berlakon menerusi filem Enjin No 9 arahan Raja Azmi dan telefilem Tergantung Rindu yang ditayangkan pada Aidilfitri lalu.

“Jadi, sekarang saya sudah sedia untuk membintangi drama dan tawaran itu nampaknya ada untuk watak utama. Bagi saya, ia satu penghargaan dan harus serius mencuba,” katanya.

Tajul atau nama sebenarnya Tajul Arif Noor Md Shari berkata, keberaniannya untuk ketengah bakat sebagai pelakon bukan disebabkan tamak mengejar peluang yang datang.

“Saya tahu, dalam bidang lakonan sekarang pun ada ramai pelakon baru yang muncul bersilih ganti.

Jadi, pembabitan saya umpama menambahkan lagi bilangan itu.

“Bagaimanapun, yang pasti ini soal rezeki. Saya juga anggap pembabitan dalam lakonan pun bukan mahu bersaing dengan pelakon lain yang sedia ada.

“Ini peluang saya dan tidak salah untuk menerimanya. Bahkan, aktiviti lakonan juga tidak mengganggu perjalanan karier utama saya sebagai penyanyi,” katanya.

Menurut Tajul, dia minat berlakon dan menerusi pengalamannya dia seronok bekerja di lokasi penggambaran. Ujarnya, dia juga sedia terima teguran jika lakonannya kurang mantap.

Berbicara mengenai penerimaannya jika sekali lagi mendapat peluang menyertai program realiti TV, Tajul berkata cukuplah sekali pengalaman dilalui dalam Big Stage lalu.

“Saya rasa niat untuk merasai pengalaman menjadi peserta program realiti TV sudah pun tercapai dan cukup setakat itu. Bagi saya, kini perbaiki kelemahan dan kekurangan dalam nyanyian.

“Bukan takut berhadapan persaingan tetapi pengalaman dalam Big Stage banyak mengajar saya. Untuk itu, saya tidak terfikir ingin menyertai program realiti TV lagi,” katanya.

Ditanya adakah dia sudah serik dan berasakan namanya tercalar kerana tersingkir, Tajul menafikan perkara itu.

“Saya tidak serik, cuma cukuplah setakat itu. Malah, nama saya tidak tercalar kerana tersingkir dengan persembahan yang agak baik.

“Mungkin sudah tertulis rezeki saya sampai di situ saja dan saya akur. Jadi, tiada apa yang perlu dikesalkan,” katanya.

Sehubungan itu, untuk karier nyanyiannya Tajul berkata, dia sangat berterima kasih dengan sokongan padu peminat.

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 12:30pm
d