rap

Sentiasalah muhasabah diri...

Oleh Norhayati Nordin

HUBUNGAN baik yang dipupuk pelakon Norman Hakim, 42, bersama bekas isterinya, Abby Abadi, 41, menarik perhatian netizen.

Kebanyakan netizen meminta pasangan selebriti lain yang sudah bercerai menjadikan hubungan baik antara Norman dan Abby itu sebagai contoh.

Ditanya mengenai penerimaan positif netizen, Norman ketika dihubungi berkata, sebagai manusia biasa, dia juga tidak pernah terlepas daripada melalui proses jatuh bangun dalam kehidupan.

“Kalau diimbas pada kisah yang lalu, saya dan Abby pernah melalui dugaan kehidupan. Namun, sebagai lelaki, saya adalah ketua.

“Apabila menjadi pemimpin dalam keluarga, seharusnya saya sentiasa ingat dengan amanah Allah SWT yang sudah memberikan zuriat.

“Jadi, dengan apa yang berlaku pada saya serta Abby itu adalah ujian kehidupan, dan anak-anak tidak harus menjadi mangsa,” katanya.

Menurut Norman, yang pasti kini dia sentiasa bersyukur dan akur sebagai manusia memang tidak sempurna.

“Bagaimanapun, sebagai peringatan pada diri sendiri, saya tidak putus doa memohon kepada Allah dan kembali kepada-Nya.

“Bermuhasabah diri yang akhirnya mampu melenyapkan ego dan hati semakin tenang apabila sudah memaafkan,” katanya.

Menurut pelakon drama Gerak Khas itu, dia gembira apabila segala yang baik dapat memberi inspirasi untuk dikongsi masyarakat.

Katanya, berikutan hubungan baik dijalin itu, dia juga banyak mendapat mesej peribadi yang dihantar melalui Instagramnya (IG).

“Pelbagai masalah dan konflik ada dalam fasa kehidupan dan saya bersyukur Allah sentiasa ada untuk mengingatkan saya,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 10:21pm
d