rap

Raez terkilan bakat tak dipandang

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Bersandarkan rupa dan bentuk tubuh yang tegap tidak menjanjikan apa-apa dalam industri hiburan kecuali mempunyai jutaan pengikut di laman sosial serta kreatif mempromosi diri.

Itu antara dilema dilalui segelintir anak seni yang meletakkan bakat nombor satu manakala rupa serta pengikut laman sosial ramai pula di tempat kedua.

Perkara ini juga dikongsikan pelakon dan model, Raez Al-Aidid, 24, yang pernah kecewa kerana bakatnya seolah-olah tidak dipandang, sebaliknya jumlah pengikut laman sosial lebih menjadi taruhan segelintir stesen TV dan produser.

“Dalam tempoh dua tahun bergelar pelakon, pernah juga rasa kecewa sehingga membuatkan saya sedikit terkilan.

“Saya tidaklah me­ngatakan sangat berbakat tetapi demi cinta pada dunia lakonan, saya mengikuti kelas lakonan bersama Fauziah Nawi dan Fauziah Ahmad Daud.

“Dulu tidak pernah terfikir nak jadi pelakon tetapi selepas menyertai DFKL (Drama Festival Kuala Lumpur), kemudian diberi peluang pula oleh Zeel Production, saya mahu teruskan,” katanya.

Raez atau nama sebenarnya Syed Shahrul Shafiq Syed Naharudin berkata, selama dua tahun bergelar anak seni, ada turun naik tersendiri.

Malah, dia pernah beberapa kali menukar nama komersial bagi memudahkan orang mengingati keunikan namanya.

Antara nama yang pernah digunakan ialah Syed Shafiq. Namun, disebabkan sudah ada beberapa artis menggunakan nama Shafiq atau Syafiq, dia menukar nama yang lain pula.

Raez juga menafikan pernah merajuk sehingga didakwa mengambil keputusan mahu meninggalkan industri hiburan dan fokus kepada bidang lain.

“Saya tidak merajuk, cuma tidak suka membazir masa dan duduk saja. Apabila lama tidak lakukan sesuatu, akan jadi ‘berkarat’.

“Paling lama tiada tawaran berlakon ialah selama sembilan bulan tapi saya gunakan tempoh itu untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan teknologi maklumat di Uniten,” katanya.

Pelakon yang turut dikenali melalui drama Mr Grey sebelum ini mengaku persaingan sengit antara pelakon baru sentiasa ada.

Disebabkan itu, dia perlu berusaha untuk mendapat sesuatu dan selama beberapa bulan, dia memperbaiki diri di segi cara lakonan, permainan kamera, intonasi dan sebagainya.

Malah, tanpa berselindung, dia turut mencuba nasib di negara jiran, Indonesia.

Usaha itu hampir membuahkan hasil apabila mendapat perhatian daripada beberapa produser dan pengarah seni di negara itu.

“Tapi mereka meminta saya fasih dalam Bahasa Indonesia dan itulah yang sedang saya lakukan sekarang. Saya bagi tempoh sehingga akhir Disember ini untuk memajukan diri di segi bahasa dan menurunkan sedikit berat badan.

“Apatah lagi, saya sudah ada tawaran untuk beraksi di pentas peragaan sempena Minggu Fesyen Jakarta pada April depan,” katanya.

Selain meletak sasaran untuk terus berlakon drama, dia juga berharap diberi peluang untuk berlakon filem.

Dia kini sedang menjalani penggambaran untuk filem pendek terbitan sebuah syarikat produksi tempatan yang akan dihantar ke beberapa festival dalam dan luar negara.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 10:56am
d