rap

Hilang penat lihat muka anak

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Komited dengan kerjaya seni bukan alasan buat dua figura ini mengambil mudah tanggungjawab mereka sebagai ibu.

Walaupun menguruskan keluarga dan pada masa sama memenuhi undangan persembahan sesuatu yang mencabar, Salma Asis dan Ayu Damit tidak pernah mengeluh.

Sepanjang melaksanakan amanah itu, banyak pengalaman mencuit hati serta mencabar kesabaran dilalui mereka.

Salma yang pernah menjuarai program Mentor 5 dan 3 Juara berkata, dia akan memastikan keperluan suami dan anak-anak didahulukan.

“Sebelum menghadiri mana-mana persembahan, saya akan siapkan dulu keperluan keluarga.

“Syukur, saya dikurniakan suami yang ringan tulang menjaga anak-anak kami,” katanya.

Bagaimanapun, Salma mengakui lebih selesa sekiranya suami dan anak-anak berada dekat dengannya.

“Kalau ada acara yang boleh bawa keluarga, saya akan bawa mereka. Jika bekerja di luar daerah, mereka akan ikut.

“Dalam pada bekerja, kami boleh berjalan-jalan dan luangkan masa bersama.

“Namun, ada juga penganjur yang tidak membenarkan saya bawa keluarga dan saya hormati permintaan mereka,” katanya.

Sambung Salma, sama seperti wanita bekerja lain, pasti penat menguruskan banyak perkara tetapi sebagai isteri dan ibu, dia anggap itu sebagai pengorbanan yang manis.

“Bohonglah kalau cakap tak penat tetapi apabila pandang muka anak-anak, rasa penat itu hilang.

“Bagi saya, anak-anak penguat semangat ibu bapa,” katanya.

Antara pengalaman mencuit hati bagi ibu yang tidak menggunakan khidmat pengasuh atau pembantu rumah ini adalah apabila anaknya meragam ketika menghadiri majlis.

“Kalau anak-anak kecil meragam, selalunya ‘ibu’ yang akan menjadi penyelamat keadaan. Kanak-kanak kalau dimarah, maka mereka akan lebih meragam.

“Jadi, saya akan cakap secara lembut dengan anak dan pujuk dia. Salah satu cara paling mudah adalah dengan memberikannya telefon pintar dan dia akan leka bermain aplikasi mainan,” katanya.

Salma memiliki tiga cahaya mata iaitu Putri Nurul Huda, 11, Khairul Anwar, 6, hasil perkahwinan pertamanya dan Andi Raisya yang kini berusia tiga tahun menerusi perkongsian hidup dengan suami tercinta, penyanyi Azri Abdullah.

Terbaru, Salma hadir dengan single berjudul Stop Love ciptaan Ajai.

Ayu serik lepas 16 pembantu rumah

Hidup berkeluarga banyak dugaannya. Ayu sebelum ini pernah menggunakan khidmat pembantu rumah.

Namun, dalam tempoh setahun, 16 pembantu rumah tidak bertahan lama dan kini dia selesa menguruskan sendiri tiga cahaya matanya sambil bekerja.

“Ada beberapa sebab saya terpaksa tamatkan khidmat mereka. Ada yang diberhentikan kerana tidak boleh melakukan tugasan dengan baik dan ada juga sebab-sebab lain.

“Sekarang, saya buat semua sendiri. Meskipus mencabar kerana perlu memenuhi komitmen persembahan, saya puas dapat uruskan sendiri keperluan anak-anak,” katanya.

Menurut Ayu, dia kini cenderung menerima tawaran hujung minggu kerana mahu fokus menguruskan keluarga.

“Hari biasa susah sedikit kerana saya kena jaga anak-anak. Jadi, saya hanya terima tawaran pada hujung minggu.

“Bagaimanapun, kalau tawaran yang datang itu berbaloi saya akan pertimbangkan,” katanya.

Juara program realiti

One in a Million musim kedua ini mengakui dirinya bertuah kerana suami kerap membantu permudahkan kerja hariannya.

“Suami saya biasa bertolak-ansur dengan saya. Kalau saya keluar bekerja, dia akan jaga anak-anak. Kalau boleh bawa keluarga, saya akan bawa mereka bersama.

“Lagipun, suami saya bekerja sendiri dan masanya lebih fleksibel,” katanya.

Mendirikan rumah tangga dengan Syed Fauzi, pasangan itu dikurniakan tiga zuriat iaitu Syed Nashrul Haikal, 9, Sharifah Alya Adriana, 8, dan Syed Aqif Najmi, 4.

Terbaru, Ayu rancak mengumpul material untuk dijadikan sigle.

Disiarkan pada: December 9, 2018 @ 9:00am
d