rap

Usah persia bakat Wany, Tajul

Oleh Cik Pang

Kali pertama muncul dengan single duet Di Sana Cinta Di Sini Rindu, ramai memuji gandingan penyanyi remaja Wany Hasrita dan Tajul. Apatah lagi mereka dianggap Siti Nordiana dan Acik Spin kedua.

Selepas itu, muncul pula lagu Rindu Dalam Benci. Ketika itu ramai mula bersuara dan menyifatkan pasangan duet itu sudah tidak sesuai. Ditambah pula, lagu mereka gagal mara ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik.

Terbaharu, Cik Pang dapat tahu Wany dan Tajul muncul lagi dengan lagu Aku Serius. Kali pertama mendengar lagu nyanyian mereka dalam satu program realiti, berdesing telinga Cik Pang. Bagaikan ada yang tidak kena dengan lagu itu.

Tetapi itu bukan persoalan utamanya kerana untuk kali ini Cik Pang berasakan cukup-cukuplah duet Wany dan Tajul. Sudah sampai waktu pihak syarikat rakaman mengkaji perkara ini.

Bagi Cik Pang, percaturan lagu Aku Serius ini nampaknya tidak berapa menjadi. Apa yang Cik Pang perasan, gandingan Wany dan Tajul tidak memberikan impak besar dalam kerjaya mereka.

Malah, cukuplah syarikat rakaman menggunakan Wany untuk menaikkan populariti Tajul. Kalau betul nak ada lagu duet Wany atau Tajul, sepatutnya syarikat rakaman kena mencari penyanyi lain.

Wany layak dapat pasangan duet yang lebih bagus. Sangat rugi mempersia-siakan bakat Wany begitu saja. Kena ingat, zaman sekarang bukan seperti zaman kegemilangan Nana dan Acik.

Gandingan duet mereka sukar dicari ganti sehingga sekarang. Jadi, lupakan saja niat nak menjadikan Wany dan Tajul seperti Nana dan Acik.

Cik Pang percaya, kalau Wany ataupun Tajul diberikan tugasan lagu duet dengan penyanyi lain, sudah tentu ada kelainan yang bakal ditonjolkan.

Sebagai contoh, gandingan Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah, Haqiem Rusli dan Aman Raa serta ramai lagi. Cik Pang tak nak bakat Wany dan Tajul dipersia-siakan begitu saja. Bukan tidak suka dengan gandingan mereka tetapi Wany dan Tajul boleh dapat yang lebih baik.

Disiarkan pada: December 9, 2018 @ 11:00am
d