rap

'Biar orang nak kata apa...'

Oleh Norhayati Nordin

VOKALIS Xpose Band, Furhan, 26, tidak kisah jika dia dilabel menumpang populariti penyanyi terkenal Indonesia, Nicky Astria apabila berduet merakamkan semula lagu Samar Bayangan.

Furhan atau nama sebenar Ahmad Khairul Furhan Zahari berkata, dakwaan ‘tumpang-menumpang’ ini boleh dianggap perkara biasa bagi penyanyi baru sepertinya.

“Saya tak peduli langsung apa orang nak kata kerana melihat ia sebagai rezeki. Harapnya dengan kerjasama ini akan membawa Xpose Band melebarkan bakat muzik kami ke Indonesia.

“Kalau ada yang mengatakan saya belum layak untuk menyanyi duet dengan Nicky pun, saya terima dengan tenang dan berlapang dada.

“Bagi saya, orang boleh saja nak kata apa dan paling utama, saya patut bersyukur kerana dapat peluang menyanyi secara duet dengan Nicky,” katanya.

Lagu Samar Bayangan ciptaan komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan lirik ditulis Hani MJ itu adalah karya yang berjaya melonjakkan nama Nicky di persada muzik negara ini dan Indonesia.

Nicky merakamkan lagu Samar Bayangan secara solo sekitar 2000, dan versi baru secara duet bersama Furhan dirakam pada 1 Disember lalu di Indonesia.

“Terus-terang, saya sendiri teruja apabila dapat tahu berpeluang duet dengan Nicky untuk lagu Samar Bayangan yang diberi nafas baru ini.

“Saya tolak ke tepi perasaan bimbang dan berdebar kerana apa yang lebih utama membuat rakaman terbaik untuk bahagian nyanyian saya.

“Kini, harapan saya semoga lagu Samar Bayangan yang dirakam baru secara duet ini akan dapat diterima baik oleh pendengar muzik tempatan.

“Apa pun, saya tahu Ncky juga ada kelompok peminatnya. Apatah lagi, vokal Nicky memang mantap ketika menyanyikan lagu bernada tinggi,” katanya.

Menurut Furhan, dia juga berharap tidak akan wujud perbandingan mengenai vokalnya dan Nicky kerana semestinya masing-masing ada kekuatan tersendiri.

Berkongsi pengalamannya merakamkan semula lagu Samar Bayangan itu, Furhan berkata, dia gembira tidak berhadapan masalah dan segala urusan berjalan lancar.

Terdahulu, Furhan bersama Xpose Band popular dengan lagu Sandiwara dan terkini muncul dengan single kedua, Maafkan Ku.

Disiarkan pada: December 9, 2018 @ 11:07pm
d