rap

Syafiq mahu karyawan muda kreatif

Oleh Ramlah Zainal

PENGARAH berbakat besar, Syafiq Yusof, 25, yang dilantik sebagai salah seorang panel penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mahu menjadi suara buat penggiat filem muda mengenai pandangan, harapan dan persperktif mereka bagi memartabatkan industri perfileman tanah air.

Syafiq yang juga anak kepada penerbit dan pengarah filem popular, Datuk Yusof Haslam berkata, dia dihubungi pihak FINAS mengenai pelantikannya itu pada November lalu.

Syafiq berkata, walaupun masih muda, dia yakin dengan kemampuannya untuk menggalas tanggungjawab itu.

Dia juga gembira kerana bapa dan abangnya, Syamsul yang juga pengarah terkenal memberikan sokongan padu terhadapnya.

Pelantikan baru ahli lembaga FINAS diumumkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, kelmarin.

Pelantikan pada 22 November lalu itu bertujuan melaksanakan pembaharuan dan penstrukturan semula sesuai dengan hala tuju kementerian.

Ditanya mengenai komitmen, pengarah filem Abang Long Fadil itu berkata, dia tidak ada masalah untuk membahagikan masa antara kariernya sebagai pengarah dan tanggungjawab barunya itu.

Ditanya mengenai agendanya, Syafiq berkata, dia mahu membantu golongan karyawan muda yang kreatif untuk mendapat tempat dalam industri perfileman tanah air.

"Saya mungkin sudah ada platform yang kukuh kerana bapa adalah produser filem. Namun, ramai karyawan muda berbakat yang tidak tahu saluran yang betul. Saya tidak mahu karyawan muda yang kreatif ini menghasilkan filem hanya sekadar untuk melepaskan batuk di tangga kerana tidak tahu hala tuju filem dihasilkan itu.

"Contohnya, untuk menghasilkan filem pendek, FINAS juga menyediakan geran untuk karyawan muda berkarya," katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, muka baru yang dilantik sebagai ahli lembaga Finas itu terdiri daripada individu berpengalaman luas dan berpengetahuan dalam bidang perfileman, karyawan, perakaunan dan perundangan.

Selain Datuk Samsuni Mohd Nor dilantik selaku Pengerusi FINAS turut dilantik sebagai panel penasihat ialah pelakon Bront Palarae, Ku Mohamad Haris Ku Sulong, Mohamed Harun Abdul Rahman, Wee Meng Hee dan Adrian Teh.

Semua pelantikan itu selaras dengan peruntukan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia 1981.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 2:21pm
d