rap

Ardell kembali berlakon

Oleh Amirul Haswendy Ashari

SELEPAS hampir setahun berehat, pelakon Ardell Aryana atau nama sebenar Nurul Hidayah Mohd Amin, 28, akhirnya sedia untuk kembali mewarnai dunia lakonan.

"Boleh dikatakan saya berehat sepanjang 2018 walaupun sempat berlakon dalam drama Pengantin Musim Salju pada April lalu.

"Selepas berlakon dalam drama itu, kesihatan saya agak merosot dan terpaksa menolak semua tawaran sehinggalah saya kembali bertenaga," katanya.

Ardell ketika ditemui berkata selama beberapa bulan lalu, dia melalui pelbagai proses rawatan berkaitan.

Biar pun enggan mendedahkan penyakit sebenar dialami, Ardell memberi bayangan dia sebenarnya mengidap kanser.

"Saya tidak mahu menimbulkan perasaan simpati daripada peminat dan media, sebab itulah saya berdiam diri selama ini.

"Kebanyakan soalan ditanya mereka agak sensitif dan saya tidak 'kuat' untuk berdepan dengan semua soalan atau tuduhan bersifat sensitif," katanya.

Ardell mengambil contoh cabaran dilalui penyanyi Elyana yang berdepan dengan pelbagai tohmahan daripada netizen yang sekali gus memberi tekanan emosi kepada penyanyi itu.

Pelakon yang turut dikenali melalui filem Dorm Melati dan Surf This Love: Gelora Juara itu berkata dia sudah pun melepasi tempoh sukar dalam rawatan dan kini lebih positif untuk meneruskan kerjaya lakonan.

Katanya, sepanjang tempoh sukar lalu, dia pernah mengalami depresi teruk sehingga memaksanya untuk turut menjalani rawatan psikiatri.

Dia bagaimanapun bersyukur mendapat sokongan daripada keluarga terutama daripada ibu, abang dan kakak iparnya.

"Kakak ipar saya yang kebetulan bekerja di bahagian farmasi sebuah hospital tempatan mengambil cuti tanpa gaji selama beberapa bulan semata-mata mahu menjaga saya.

"Dialah yang banyak memberi kata-kata semangat dan menjaga makan minum selama saya sakit," katanya terharu.

Dalam pada itu, Ardell yang bakal muncul dengan filem XXray 3 arahan Aziz M Osman pada Januari depan, optimis untuk aktif berlakon pada tahun 2019.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 6:37pm
d