rap

Eina bantu baby Thaqif

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Datin Eina Azman dan suami, Datuk Kaiser Gurmeet Abdullah akan membiayai perubatan Thaqif Arjuna Hapandi, enam bulan yang menderita sakit ekzema hingga sembuh.

Eina berkata, dia sudah membawa Thaqif berjumpa pakar kulit semalam dan maklum balas diberikan berkenaan penyakit dialami adalah positif.

“Kali pertama saya dan suami melawat Thaqif dan ibunya di Pulau Pinang pada 26 November lalu. Selepas melawat dan berbincang, kami ambil keputusan untuk bawa baby Thaqif berjumpa pakar di sini.

“Saya berasa gembira sebab doktor berkata insya-Allah Thaqif boleh sembuh. Yang penting ubat jangan tinggal.

“Sejujurnya, kali ini saya berasa keadaan Thaqif lebih teruk. Dia tak berhenti garu satu badan hingga berdarah. Sayu tengok keadaannya nak tidur pun susah dek kerana pedih satu badan,” katanya.

Eina yang berkongsi perkara itu di Instagram semalam turut berterima kasih kepada pengguna laman sosial yang menghantar mesej peribadi (Direct Message) mengenai penyakit Thaqif.

Thaqif menderita sakit itu sejak berusia dua bulan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi membiayai perubatan Thaqif boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB milik ibunya, Nur Athirah, 07140147267526.

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 11:08am
d