rap

'Menepati kriteria, tak suka melepak'

Oleh Ramlah Zainal

“KAMI mula berkenalan di laman Instagram dan berkawan rapat dalam tempoh setahun sebelum mengikat tali pertunangan.

“Haziq juga menepati kriteria calon suami yang dicari kerana dia tidak suka melepak dan sangat mementingkan keluarga ,” kata pelakon Eyra Hazali, 19, ketika mengulas detik perkenalannya dengan penjaga gol skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Muhammad Haziq Nadzli, 20.

Pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri popular Mr Grey itu mengikat tali pertunangan dengan Haziq pada 1 Disember lalu.

Ditanya kenapa dia enggan berkongsi lebih terperinci mengenai majlis pertunangannya itu, kata Eyra, dia perlu menghormati permintaan keluarga kedua belah pihak.

“Saya bukannya mahu merahsiakan berita pertunangan itu tetapi semuanya kerana permintaan keluarga.

“Saya akui tempoh bertunang banyak dugaannya tetapi saya juga tidak dapat berkongsi cerita berapa lama tempoh pertunangan ini.

“Insya-Allah, kami tidak akan merahsiakan majlis perkahwinan dari pihak media bila tiba masanya nanti.

“Namun, apa yang saya boleh katakan majlis pernikahan bukan berlangsung dalam tempoh terdekat ini,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran filem M4M4 yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sebelum ini, gambar pertunangan Eyra dengan Haziq dimuatnaik kakaknya, Hazel Hazali di Instagram.

Malah, pada ruangan Instastory, Eyra dan Haziq masing-masing memuat naik gambar tangan dengan cincin tersarung pada jari manis.

Namun, Eyra dan keluarganya tidak mahu mengulas lanjut mengenai majlis pertunangan berkenaan.

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 9:29pm
d