rap

Konsert kekal 15 Disember

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BAIK anggota XPDC mahupun May akur apabila penganjur Konsert Metal Return 1.0 Live, Ladyboss Studio memberi bayangan akan menunda tarikh penganjuran konsert di Stadium Perak, Ipoh, daripada 15 Disember kepada 16 Disember.

Alasannya masyarakat lebih teruja dengan kejayaan pasukan Malaysia mara ke final Piala AFF Suzuki dan akan melekat di kaca TV bagi menyaksikan timbal balik final pasukan kebangsaan yang akan bertemu Vietnam di Hanoi pada 15 Disember.

Pada masa sama, jalan lain tetap difikirkan dan selepas perbincangan mendalam, kata sepakat dicapai oleh semua pihak apabila konsert akan tetap berlangsung pada 15 Disember seperti tarikh asal.

Vokalis XPDC, Ali berkata, penganjur mahu mewujudkan satu suasana fiesta apabila mengajak peminat menonton bola sepak terlebih dahulu sebelum berhibur dengan persembahan mereka.

“Kita semua akan tengok bola kerana penganjur akan pasang skrin gergasi bagi membolehkan peminat menonton di stadium.

“Sebaik perlawanan bola sepak berakhir, barulah konsert dimulakan sekitar jam 10 malam.

“Penganjur juga sudah minta permit daripada pihak berkuasa untuk melanjutkan tempoh persembahan konsert ini,” katanya.

Ali berkata, anggota kumpulannya iaitu Izo (gitar), Arif (gitar), Eddie (bass) dan Lola (dram) sudah melakukan latihan secukupnya dan percaya mampu menampilkan persembahan mantap dan menghiburkan peminat.

“Tak dinafikan rata-rata anggota XPDC dan May sudah melebihi usia 40-an dan ada yang mencecah usia 50-an.

“Mungkin ada peminat yang akan mempertikaikan kemampuan kami beraksi dalam konsert berdurasi lebih dua jam ini.

“Ia bukanlah masalah kerana kami memang aktif terbabit dalam konsert. Baru-baru ini pun kami beraksi dalam Konsert Evolusi PJ anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan peminat terhibur dengan persembahan itu,” katanya.

Selain menyampaikan koleksi lagu popular XPDC, Ali juga akan menyampaikan lagu terbaru daripada album mereka yang berjudul Doa.

Anggota May iaitu Mus selaku vokalis, Abu (gitar), Yuss (bass) dan Man (dram) pula berasal dari Kampung Manjoi, Ipoh. Mereka tidak sabar beraksi di laman sendiri.

“Kami teruja kerana dapat beraksi satu pentas dengan XPDC yang juga rocker otai di Ipoh dan tempat kami memulakan karier dahulu.

“Rasanya ramai peminat kami di sana ternanti-nanti peluang ini dan peminat sekitar negeri Perak turun beramai-ramai menyokong konsert ini,” kata Mus.

Sementara itu, wakil penganjur Ladyboss Studio, Nithianandan M atau Nathan berkata, konsert tetap diadakan tetapi kepentingan negara terlebih dahulu diutamakan dengan memberikan laluan kepada perlawanan bola sepak.

“Kami menyediakan tiga skrin gergasi untuk pentas manakala Stadium Perak sendiri ada dua skrin besar. Jadi keseluruhannya ada lima skrin yang akan menyiarkan perlawanan langsung ini.

“Ini adalah satu karnival kerana seawal jam 10 pagi kami sudah menyajikan pelbagai aktiviti seperti jualan makanan, pameran motosikal kap-chai dan tetamu pelumba MotoGP, Hafizh Syahrin.

“Pembelian tiket untuk pameran motosikal bermakna peminat sudah memiliki tiket menonton konsert. Ia juga melayakkan mereka menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik antaranya kereta dan motosikal kuasa besar,” katanya.

Menurutnya lagi, 10 peratus daripada hasil jualan tiket akan diserahkan kepada badan kebajikan terpilih.

Tiket konsert dijual pada harga RM60, RM95 dan RM150 (VIP) dan sebarang keterangan lanjut boleh dibuat menerusi www.stubapp.com.

Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 7:00am
d