rap

Telefon Jehan meletup...

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PELAKON Jehan Miskin hampir menjadi mangsa kebakaran apabila telefon pintar yang dicas bersebelahan tempat tidurnya terbakar malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 malam itu, Jehan, 38, sedang tidur bersama isterinya, Julie Camelia Rhee, 34, sebelum isterinya terjaga selepas mendengar bunyi meletup dan terhidu seperti sesuatu sedang terbakar.

Jehan ketika dihubungi berkata, dia juga lega apabila tangan kiri dan rambutnya tidak terbakar kerana telefon itu dicas betul-betul di atas bahagian kiri katil.

"Telefon itu saya letak atas katil di sebelah tangan kiri saya. Mujur tangan atau rambut tak terbakar. Selain telefon terbakar, saya dapati ada sedikit kesan kebakaran di cadar dan sarung tilam," katanya yang bersyukur kejadian itu tidak mengundang malapetaka lebih besar.

Terdahulu, Jehan menerusi Instagram berkongsi mengenai perkara itu selain memuat naik gambar telefonnya yang rosak akibat kejadian itu.

"Seperti orang lain, saya juga mengecas telefon bimbit semalaman dan meletaknya bersebelahan katil. Mujurlah isteri saya terkejut apabila mendengar bunyi meletup dan terhidu seperti sesuatu sedang terbakar," katanya.

Jehan berkata, sejurus selepas itu, isterinya terus mencabut kabel pengecas ketika telefon bimbit itu sedang terbakar.

Susulan kejadian, pelakon Apokalips X itu nekad tidak akan mengecas telefon semalaman dan meletaknya di tepi katil ketika tidur selepas ini.

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 5:30pm
d