rap

Cinta tiga bulan

Oleh Michelle Gun

Hubungan jarak jauh bukan penghalang bagi pelakon Sasqia Dahuri, 33, dan ahli perniagaan hartanah Singapura, Muhammad Asyraff Khan Baharudin Khan, ke jenjang pelamin.

Bercerita pertemuan dengan suaminya, Sasqia atau nama sebenarnya, Nurlisasqia Ahmad Dahuri berkata, dia berkenalan dengan Asyraff di sebuah acara ramah mesra bersama peminat di Singapura, tahun lalu yang turut disertai ibu mentuanya. Menurut pelakon drama Cinta KoKo Coklat ini, perkenalan mereka diteruskan dengan berkomunikasi menerusi ruang Direct Message (DM)Instagram selama sebulan.

“Kali pertama jumpa, Asyraff kelihatan seperti seorang yang ‘poyo’. Selesai acara malam itu, dia mengirim mesej di Instagram memberitahu gembira dapat mengenali saya.

“Namun kami hanya berkomunikasi menerusi DM saja kerana dia tidak pernah minta nombor telefon. Hanya selepas sebulan, barulah kami berkomunikasi menerusiWhatsApp,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui, sepanjang tempoh bercinta, memang ada sedikit cabaran kerana mereka banyak berhubung menggunakan WhatsApp.

“Hubungan kami mula serius pada September tahun lalu dan suami melamar dua bulan kemudian dengan memberi 99 kuntum mawar merah serta cincin.

“Pada Disember, keluarganya datang merisik dan kami bertunang pada Januari lalu,” katanya. Walaupun berjauhan, Sasqia mampu melakukan persiapan perkahwinan di sebelah pihaknya tanpa sebarang masalah kerana dibantu beberapa rakannya.

“Ibu dan bapa memang tidak tahu apa­apa mengenai persiapan perkahwinan kerana semuanya dilakukan saya bersama rakan­rakan.

“Syukur saya ada rakanrakan yang sudi membantu menguruskan beberapa persiapan dan mereka tiada masalah melakukannya kerana sudah biasa,” katanya.

Menurut Sasqia, buat masa sekarang dia dan suami terpaksa hidup berjauhan kerana komitmen kerjaya di negara masing­masing.

“Sekarang, kami berulang­alik untuk berjumpa.

Sampai satu masa nanti, kami perlu menetap di satu tempat bersama, namun belum bincang di mana,” katanya.

Tunda bulanmadu

Ditanyakan lokasi bulan madu, Sasqia memberitahu terpaksa menunda percutian ke London bagi memberi komitmen terhadap promosi filem Misteri Dilaila, bulan depan.

“Kami merancang ke London dan pada masa sama meraikan ulang tahun suami ke­28 pada 21 Januari ini. Namun, hasrat itu ditangguhkan kerana bagi saya, kerja lebih penting,” katanya.

Sasqia berkata, dia teruja mempromosikan karya arahan Syafiq Yusof itu yang turut menampilkan barisan pelakon seperti Zul Arifin, Elizabeth Tan dan Datuk Rosyam Nor.

Sementara itu, Asyraff mengakui kehadiran Sasqia banyak mengubah dirinya mengenai hubungan dengan keluarga.

“Isteri seorang yang mengambil berat. Selama ini hidup saya hanya fokus terhadap kerjaya saja. Bagaimanapun, selepas ini, saya perlu membahagikan masa,” katanya.

Menurut usahawan itu lagi, dia belum dapat membiasakan diri dengan dunia artis yang perlu berdepan dengan media dan kamera.

“Sewaktu membuat rakaman untuk program Mahligai Cinta, saya rasa sangat kekok. Namun, saya perlu bersedia memasuki dunia hiburan, cuma kalau boleh tidak mahu terlalu menonjolkan diri di tempat umum,” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 9:48pm
d